KAJANG, 11 Julai 2023 – Sidang meja bulat anjuran bersama Malaysia Corruption Watch (MCW) dan Majlis Profesor Negara (MPN) menyatakan pelbagai pandangan bagi memastikan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dapat bertindak pro-aktif secara positif dan tegas dalam memastikan ijazah-ijazah yang dikurniakan, berkualiti dan menepati piawaian kebangsaan dan antarabangsa. Seramai 50 ahli sidang meja bulat termasuk ahli MCW, pegawai MPN dan wartawan menghadiri perbincangan ini di ibu pejabat MPN, kelmarin.
IPT awam atau swasta adalah gedung ilmu yang melambangkan intelektual dan ketamadunan rakyat Malaysia yang harus dipertahankan kewibawaannya. Pengiktirafan sijil-sijil akademik menerusi institusi-institusi ini perlu menepati piawaian dan kriteria tertentu demi menjaga integriti institusi tersebut.
MPN dan MCW akan memastikan kerjasama dalam menelusuri langkah-langkah terbaik untuk mencapai matlamat tersebut serta memastikan masalah yang berbangkit dapat diselesaikan dengan tuntas.
Kebelakangan ini, isu pelanggaran dan salah laku berkaitan integriti semakin hangat diperkatakan dalam dunia pendidikan Malaysia. Terdapat lima salah laku integriti dalam sektor pendidikan tinggi dikenal pasti. Salah satu yang ditekan dalam meja bulat ini ialah pemberian atau penerimaan sijil-sijil palsu (dijual) bagi memiliki Ijazah Kehormat (Honorary Master & Doctorate) dari universiti dan NGO tidak bertauliah. Namun permasalahan ini tidak melibatkan IPT Malaysia secara keseluruhan.
MCW dan MPN bertindak sebagai ‘suara rakyat’ dalam menangani isu sensitif yang boleh menjatuhkan imej pendidikan negara. Dalam perbincangan ini, 10 cadangan diutarakan bagi memastikan isu ini tidak semakin parah. Antara cadangan tindakan ialah MPN boleh bertindak mengesyorkan penarikan semula atau pembatalan kurniaan ijazah pelbagai peringkat sekiranya didapati datang dari entiti pendidikan yang tidak diiktiraf oleh Malaysia.
Selain itu, MPN juga mesti menyimpan profil individu dan syarikat yang mengeluarkan ijazah palsu ini agar mereka tidak mengulanginya perbuatan ini pada masa hadapan.
Kita mahu masalah ini dapat dikekang daripada terus berleluasa dan dikuasai oleh pihak-pihak tertentu yang hanya mahu meraih keuntungan kewangan semata-mata. Martabat dan integriti pendidikan negara tidak boleh dibiarkan tercemar.
MCW MEMPERINGATKAN KEPADA SEMUA AHLI AGAR TIDAK MELIBATKAN MCW DALAM SEBARANG AKTIVITI YANG BERKAITAN ISU DI ATAS; TERUTAMANYA AKTIVITI PEMBERIAN IJAZAH (YANG MEMBAWA GELARAN DR. ATAU PROFESOR KEHORMAT) OLEH UNIVERSITI YANG TIDAK DIIKTIRAF ATAU SEBARANG INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI YANG TIDAK SAHIH KEWUJUDANNYA. KETEGASAN DAN PENDIRIAN MCW INI ADALAH BAGI MEMBUKTIKAN BAHAWA MCW TIDAK MENYOKONG AKTIVITI SALAH LAKU INTERGRITI INI DAN PERLU DIBANTERAS SEGERA.