KENYATAAN MEDIA MCW-KONTROVERSI TINDAKAN MENTERI PELANCONGAN MENCAMPURI TUGASAN IMIGRESEN DI KLIA

KENYATAAN MEDIA MCW
KONTROVERSI TINDAKAN MENTERI PELANCONGAN MENCAMPURI TUGASAN
IMIGRESEN DI KLIA

1 Julai 2023

1. Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berpendapat bahawa tindakan Menteri
Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing yang didakwa
menceroboh masuk ke balai ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan
pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen Negara (JIM) tanpa iringan dan
sokongan daripada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian agak kurang
profesional. Sewajarnya menteri tersebut berbincang atau melaporkannya terus
kepada Menteri Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan lanjut. Beliau juga tidak
mempunyai kuasa untuk mencampuri urusan keselamatan negara.

2. Adakah tindakan ini dilakukan atas dasar politik negara atau mempunyai
matlamat peribadi? Tanda soal ini perlu dijawab dengan lebih jelas agar
rakyat dapat memahami niat sebenar sebelum rakyat membuat tafsiran liar
bahawa tindakan tersebut bertujuan melindungi sesuatu jenayah lain?

3. MCW juga berpendapat bahawa wujud maksud tersirat di sebalik kontroversi
tindakan tersebut. Walaupun terdapat dakwaan mengenai amalan rasuah yang
serius melibatkan pegawai imigresen, tidak semestinya insiden ini mewakili
keseluruhan situasi dalam kes ini. MCW mendesak agar menteri tersebut
memberikan penjelasan yang lebih berasas dan bukan cuba mengalih perhatian
rakyat dengan mempolitikkan isu rasuah di KLIA.

4. MCW juga ingin menegaskan sekiranya benar terdapat dakwaan mengenai
permintaan suapan oleh pegawai imigresen, perkara ini sepatutnya dilaporkan
terus kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ini
adalah bidang kuasa SPRM dan lebih relevan melibatkan SPRM dalam proses
untuk memastikan pengamatan yang lebih sahih, siasatan yang profesional dan
tegas.

5. Selain itu, faktor keselamatan di lapangan terbang harus diberi keutamaan
kerana ia adalah pintu masuk utama bagi pengunjung asing yang sah ke
Malaysia dan perlu difahami serta ditekankan bahawa keselamatan lapangan
terbang tidak boleh dikompromi semata-mata demi memajukan industri
pelancongan.

6. MCW berpendapat bahawa Menteri Pelancongan seharusnya tidak campur
tangan dalam urusan pegawai imigresen. Tugas mereka adalah untuk
memeriksa kedatangan pengunjung berdasarkan faktor keselamatan yang tidak
boleh dikompromi. Kehadiran Menteri berkenaan di lokasi yang sama sebanyak
tiga kali belakangan ini juga amat mencurigakan dan perlu disiasat oleh pihak
Polis.

7. MCW juga ingin menegaskan bahawa kawasan tersebut dilindungi oleh Akta
Kawasan Larangan dan Tempat Larangan (Akta 298) dan amat penting untuk
memastikan keselamatan di lokasi tersebut terjamin.

8. MCW berharap agar isu ini dapat ditangani secara bijak dan telus dengan
memberi perhatian kepada semua aspek penting terutamanya penilaian
terhadap CCTV tempat kejadian dan keperluan penterjemah bahasa di kaunter
imigresen perlu diperhalusi. Justeru, MCW ingin menegaskan bahawa
pentingnya menjaga integriti dan profesionalisme dalam menjalankan tugas oleh
semua pihak yang berkaitan demi menjaga imej negara.

 

JAIS BIN ABDUL KARIM
Presiden
Pemerhati Rasuah Malaysia/ Malaysia Corruption Watch (MCW