๐—ž๐—ถ๐˜๐—ฎ ๐—ฏ๐—ถ๐—ฎ๐—ฟ๐—ธ๐—ฎ๐—ป ๐—ฟ๐—ฎ๐—ฐ๐˜‚๐—ป ๐—ฟ๐—ฎ๐˜€๐˜‚๐—ฎ๐—ต ๐—ถ๐—ป๐—ถ ๐—ฏ๐—ฒ๐—ฟ๐—น๐—ฒ๐—น๐˜‚๐—ฎ๐˜€๐—ฎ

SINAR HARIAN – Wawancara
โ€˜๐—ž๐—ถ๐˜๐—ฎ ๐—ฏ๐—ถ๐—ฎ๐—ฟ๐—ธ๐—ฎ๐—ป ๐—ฟ๐—ฎ๐—ฐ๐˜‚๐—ป ๐—ฟ๐—ฎ๐˜€๐˜‚๐—ฎ๐—ต ๐—ถ๐—ป๐—ถ ๐—ฏ๐—ฒ๐—ฟ๐—น๐—ฒ๐—น๐˜‚๐—ฎ๐˜€๐—ฎโ€™
โ€™
29 Nov 2020
RASUAH terus menjadi ancaman yang besar dan memberi kesan buruk kepada rakyat dan negara jika tidak dibendung.
Di Malaysia, aktiviti rasuah telah menelan belanja sebanyak empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan anggaran kerugian sehingga RM50 bilion berdasarkan kajian Transparency International Malaysia.
Dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Norโ€™afiza Saim menyifatkan rasuah telah menjadi penyakit dalam masyarakat dan perlu dicegah dengan mengenakan hukuman yang lebih berat.
Ikuti temu bual antara Norโ€™afiza dan wartawan Nurhidayah Hairom.
SINAR AHAD: Boleh puan jelaskan bagaimanakah peranan IIM dalam membantu membina nama Malaysia sebagai negara yang dikenali dengan integriti dan bukan kerana kes rasuahnya?
NORโ€™AFIZA: Inspirasi Malaysia adalah untuk menjadi sebuah negara yang dikenali kerana integritinya, bukan kerana rasuahnya, dan ini perlu diterapkan dalam jiwa setiap rakyat Malaysia.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) telah menubuhkan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC).
IIM diletakkan bawah GIACC dan berperanan sebagai badan operasi kepada GIACC. IIM berperanan membangunkan kapasiti sektor awam dan swasta dalam isu berkaitan integriti, governans dan antirasuah. Bagi merealisasikan tanggungjawab ini, pelan strategik untuk tiga tahun telah dibuat.
Salah satunya adalah dengan memperkenalkan sistem pengurusan risiko yang boleh diguna pakai dalam sektor awam dan swasta untuk pencegahan rasuah. Sebanyak tujuh instrumen atau metodologi pencegahan rasuah yang boleh digunakan organisasi telah dibangunkan.
Bagaimana IIM melihat landskap jenayah rasuah pada masa lalu dan masa kini. Apakah terdapat sebarang perbezaan?
Sudah tentu cara jenayah rasuah dilakukan ada perubahan selari dengan perkembangan semasa. Teknologi berubah. Yang paling ketara ialah kerugian akibat rasuah makin meningkat mendadak. Di Malaysia, aktiviti rasuah telah menelan belanja sebanyak empat peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dengan anggaran kerugian RM40 hingga RM50 bilion disebabkan rasuah berdasarkan kajian oleh Transparency International Malaysia.
Bahkan satu lagi hasil kajian menunjukkan tujuh daripada 10 rakyat Malaysia terlibat rasuah. Di peringkat global, aktiviti rasuah telah menelan belanja sebanyak AS$2.6 trilion setiap tahun.
Bayangkan berapa banyak faedah daripada wang sebanyak itu. Boleh beri makan orang miskin, berapa banyak hospital boleh dibina, sediakan kemudahan infra untuk pendidikan dan pelbagai lagi.
Dari segi penguatkuasaan, apakah cabaran-cabaran penting yang terpaksa dilalui oleh agensi-agensi penguat kuasa yang terlibat dalam memerangi jenayah rasuah?
Kuasa yang diberikan kepada agensi penguat kuasa adalah mencukupi untuk mereka menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan.
Setiap tugasan ada cabaran. Jadi sebagai ketua-ketua jabatan atau agensi, mereka perlu kenal pasti cabaran atau risiko yang boleh menyebabkan mereka gagal mencapai objektif agensi penguatkuasaan. Mereka perlu berusaha menguruskan risiko-risiko ini supaya apa juga cabaran yang akan mengganggu mereka dalam menjalankan tugas dapat diatasi dengan berkesan.
Untuk menjadi negara maju, perlu ada sistem pengurusan risiko supaya kita bersedia. Kita tak boleh menyalahkan orang lain atas kegagalan kita menjalankan tugasan. Kerana itu IIM menekankan semua agensi penguat kuasa perlu menggunakan sistem pengurusan antirasuah bagi mengenal pasti risiko, seterusnya mengambil tindakan sewajarnya.
Pada pandangan puan, apakah punca sebenar berlaku jenayah rasuah di negara ini dan bagaimana pula untuk mengatasinya?
Ramai berpendapat jenayah rasuah di negara kita berpunca daripada kurangnya pendidikan mengenai rasuah di peringkat sekolah dan prasekolah. Pada saya pendidik yang paling penting adalah ibu bapa atau penjaga. Sudah tiba masanya berhenti menyalahkan orang lain dan bercakap tanpa tindakan.
Sebagai rakyat Malaysia yang berintegriti, kita adalah role model untuk generasi muda. Sekiranya role model mereka berintegriti tinggi dan tidak mengamalkan rasuah, maka eloklah generasi akan datang.
Ya, secara peribadi saya agak bimbang dengan rasuah dalam kalangan agensi penguatkuasaan. Saya amat berharap barisan pengurusan tertinggi agensi penguatkuasaan dapat melaksanakan sistem pengurusan risiko rasuah yang berkesan bagi mengurangkan jenayah rasuah dalam kalangan pegawai.
IIM pernah membuat kajian mengenai jenayah rasuah dan mendapati bahawa pandangan golongan muda mengenai jenayah itu amat membimbangkan.
Mengapa perkara ini berlaku dan apakah kita bakal mempunyai generasi yang korup pada masa depan?
Banyak faktor mereka ini mengambil rasuah. Budaya di tempat kerja yang mengambil ringan salah laku rasuah, ketua-ketua yang tidak menunjukkan komitmen tinggi untuk perangi rasuah, termasuk gaya hidup mewah apabila mereka berbelanja melebihi kemampuan.
Semua punca ini memerlukan tindakan yang berkesan, salah satunya dari kecil lagi ibu bapa perlu mengajar anak cara menguruskan duit. Sejak sekolah rendah, universiti, sehingga alam pekerjaan dan berkeluarga.
Ibu bapa adalah guru terbaik untuk hindari rasuah. Mereka perlu jadi role model. Di alam pekerjaan pula, ketua jabatan perlu komited dalam membanteras rasuah dengan mengeluarkan polisi antirasuah bagi membentuk budaya integriti tinggi.
Adakah hukuman kepada pesalah-pesalah rasuah belum cukup berat dan perlu ditambah?
Isu rasuah telah menjadi penyakit dalam masyarakat dan kita kena cegah. Kaedah ceramah sudah tidak boleh pakai. Masalahnya ramai nak jadi pemimpin yang popular dengan buat keputusan salah. Tapi bila buat begitu, kita biarkan racun rasuah ini berleluasa, akhirnya ia akan memberi kesan kepada seluruh negara.
Jadi sebagai pemimpin kena tegas, buat perkara yang betul, orang buat salah diambil tindakan. Penjawat awam yang mempunyai masalah disiplin mesti diambil tindakan tatatertib. Kita memang perlu tegas dalam hal ini. Kalau kita biarkan lama-lama ia akan jadi satu penyakit dan racun.
Hukuman ke atas penjawat awam yang ada masalah disiplin (integriti) tak setimpal dengan kesalahan.
Tindakan yang diambil terlalu ringan dan tidak memberi apa-apa impak. Tidak menimbulkan rasa takut kepada orang lain. Banyak penambahbaikan yang perlu dibuat di jabatan-jabatan kerajaan.
Perlu lebih tegas kepada mana-mana pekerja yang tidak patuh disiplin, tak patuh prosedur operasi standard (SOP), langgar peraturan dan mengambil rasuah.
Negara pernah digegarkan dengan kes-kes rasuah berprofil tinggi namun ada sesetengah masyarakat menganggapnya perkara biasa. Apa komen puan?
Mana-mana syarikat berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) perlu mematuhi peraturan-peraturan di bawah Akta Syarikat. Agak tidak logik apabila aktiviti rasuah dilakukan selama bertahun-tahun tanpa pengetahuan pihak pengurusan tertinggi. Sistem pengurusan yang lemah akan memberi ruang kepada pihak yang ada kepentingan melakukan rasuah.
Lembaga pengarah, jawatankuasa pengurusan, bahagian audit dalaman, bahagian pengurusan risiko dan jabatan kewangan perlu jalankan tugas mereka dengan baik. Jadi perkara ini mesti diambil serius dan tidak wajar dianggap sebagai perkara biasa. Sebab kerajaan dah kerugian terlalu banyak. Sebagai orang awam, mereka juga berperanan sebagai pemberi maklumat. Mereka hendaklah laporkan jika ada aktiviti rasuah yang berlaku melalui saluran dalaman.
Jika tidak berkesan, perlu bawa ke peringkat lebih atas. Ini masanya rakyat bersuara lebih lantang berkaitan isu-isu rasuah. Sebab kita dah kerugian terlalu banyak dan kita tak boleh bersikap tenang. Jangan sampai kita menderita.
Malaysia sudah ada GIACC, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pelan Antirasuah Nasional (NACP). Sejauh manakah semua badan ini mampu menangani masalah rasuah?
Dalam pelan antirasuah, untuk lima tahun, setiap organisasi dikehendaki melaksanakan apa yang telah tertulis dalam pelan ini mengikut 115 inisiatif. Berdasarkan maklumat dari GIACC sebanyak 29 inisiatif sudah dilaksanakan.
Salah satu inisiatif adalah sistem pengurusan risiko iaitu memperkenalkan pensijilan Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) di semua agensi kerajaan. Namun, malangnya agensi kerajaan yang telah guna pakai sistem ini boleh dikira dengan jari.
Salah satu yang sudah laksanakan ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). Dalam hal ini, apa yang masyarakat sering lihat apabila pegawai dari agensi-agensi ini ditangkap, masyarakat akan fikir betapa teruknya agensi tersebut.
Tapi apa puncanya? Kenapa hanya kebelakangan ini (kes kerap)? Pada saya ini disebabkan agensi-agensi ini sudah guna pakai sistem ini dan saya percaya sistem ini telah berfungsi dengan berkesan.
IIM sendiri telah buat kajian tentang keberkesanan sistem ini terhadap lapan organisasi yang sudah guna pakai ABMS untuk tiga tahun dan hasilnya ABMS memang berkesan untuk mencegah dan meningkatkan budaya integriti dan antirasuah dalam organisasi.
Kes-kes rasuah yang direkodkan bertambah. Ini berlaku kerana prosedur pemberian maklumat sudah efektif. Ramai yang percaya yang identiti mereka sebagai pemberi maklumat akan dilindungi.
Antara rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, yang manakah paling menjadi barah dalam perkhidmatan awam?
Semua ini adalah tingkah laku atau aktiviti rasuah. Jadi sebab itu kerajaan meletakkan visi untuk Malaysia bebas daripada rasuah. Maknanya jika tiada semua elemen ini, barulah Malaysia bebas rasuah. Rasuah kini memang sudah jadi barah. Bahkan sekarang ia telah menjadi krisis untuk negara kita.
Dikatakan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam, pegawai yang tidak ambil rasuah tetapi lemah dalam pelaksanaan tugasannya juga dianggap tiada integriti. Boleh puan jelaskan maksudnya?
Maksud integriti ini lebih besar. Ia memberi makna melakukan hal yang betul walaupun tiada orang yang melihat. Sebagai seorang yang integriti, kita tidak boleh sewenang-wenangnya berkelakuan yang tidak betul. Begitu juga tentang disiplin ketika di pejabat. Datang lambat, pergi minum berjam-jam. Jadi kita kena fikir apakah yang kita buat ini adalah betul.
Integriti adalah tentang nilai kita. Jadi, dalam organisasi perlu terapkan nilai integriti untuk bina budaya. Selagi ada dalam organisasi yang salah guna kuasa dan sebagainya, sebagai ketua dia telah gagal untuk bina budaya itu.
ANEKDOT
Arwah ayah sebagai role model
Saya bertuah kerana saya mendapat role model sejak saya kecil. Allahyarham ayah saya, Saim Suradi mendidik kami satu keluarga cara pendidikan Islam yang sebenar. Beliau beli buku cara pendidikan Islam dan bagi setiap adik-beradik saya supaya bila kami berkeluarga, kami akan gunakan cara pendidikan yang sama.
Beberapa kali setiap bulan, beliau akan kumpulkan semua anak-anak. Datang dari Johor ke Kuala Lumpur dengan bergilir ke rumah anak-anak dan akan mengajar kami al-Quran. Bukan membaca, tapi mengajar setiap surah tentang apa perkara yang kita perlu terapkan dalam cara hidup sebagai Islam.
Saya ada satu fail catatan arwah yang ditulis dengan tulisan jawi tentang maksud ayat-ayat dalam surah. Jadi selepas solat Isyak beliau akan mengajar. Sehinggalah beliau diserang strok dua tahun lalu baru dia berhenti dan meninggal dunia beberapa bulan lepas.
Kemudian, apabila saya bekerja selama 29 tahun di SIRIM, saya mendapat ketua-ketua yang menjadi role model saya. Salah seorang daripadanya ialah Tan Sri Dr Ahmad Tajuddin Ali yang juga salah seorang Lembaga Pengarah IIM. Beliau mentor yang mendidik saya agar sentiasa menjadi seorang yang melakukan perkara yang baik.
Manfaat masa lapang dengan ilmu
Pada masa lapang saya suka tonton dokumentari. Saya jarang tonton filem. Jika ada pun saya akan pilih filem yang ada pengajaran. Contohnya, filem-filem berkaitan sejarah pemimpin-pemimpin Islam kita seperti filem Turki.
Selain itu, saya juga gemar melayari YouTube untuk lihat video berkaitan cara minimalis atau bercucuk tanam cara moden. Adakalanya saya mendengar muzik untuk tenangkan fikiran.
PROFIL
Norโ€™afiza Saim
Jawatan: Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM)
Ahli Lembaga Penasihat MCW penggal 2020 2023.
Asal: Batu Pahat, Johor
PENDIDIKAN:
Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana Sains Kimia masing-masing daripada Memphis State University, Tennessee dan Kansas State University, Amerika Syarikat.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*