RESPONS MEDIA MCW
18 Oktober 2024
Merujuk kepada kenyataan Tan Sri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang mendedahkan bahawa aktiviti pelacuran di negara ini masih berleluasa akibat perlindungan pihak penguatkuasa tertentu, MCW melihat perkara ini sebagai satu krisis integriti yang serius dalam kalangan agensi penguatkuasaan di Malaysia.
Kenyataan ini bukan sahaja membimbangkan, malah mengesahkan kewujudan sistem korupsi dalam penguatkuasaan undang-undang yang sepatutnya melindungi masyarakat daripada jenayah.
Oleh itu, MCW menyeru beberapa langkah penting untuk diambil segera terutamanya tindakan yang tegas mesti diambil segera terhadap mana-mana individu atau kumpulan dalam penguatkuasa yang terlibat dalam melindungi kegiatan pelacuran.
Penguatkuasa undang-undang perlu dibersihkan daripada unsur-unsur rasuah dan mekanisme pemantauan yang lebih ketat harus diperkenalkan, termasuk penggunaan kamera badan oleh pegawai penguatkuasa bagi memastikan ketelusan dan integriti.
MCW menekankan kepentingan melindungi pemberi maklumat yang berani tampil ke hadapan untuk membongkar maklumat mengenai perlindungan yang diberikan kepada kegiatan haram seperti pelacuran. Sistem perlindungan pemberi maklumat perlu diperkukuhkan agar maklumat dapat disalurkan tanpa rasa takut terhadap sebarang tindakan balas.
MCW menyeru supaya kerjasama yang lebih erat antara SPRM dan agensi-agensi penguatkuasaan lain diadakan. Dengan adanya koordinasi yang lebih baik, MCW yakin bahawa sebarang aktiviti haram yang dilindungi dapat dibongkar dan dihapuskan dengan lebih berkesan.
MCW percaya bahawa selain tindakan penguatkuasaan, pendidikan mengenai integriti yang berterusan dan kesedaran masyarakat tentang bahaya korupsi juga harus dipertingkatkan. Masyarakat perlu sedar bahawa korupsi dalam apa bentuk sekalipun akan merosakkan kesejahteraan negara dan keselamatan rakyat.
Pendedahan oleh Tan Sri Azam Baki ini harus menjadi titik mula kepada usaha yang lebih menyeluruh dan tegas dalam mereformasi sistem penguatkuasaan di Malaysia. MCW berdiri teguh menyokong SPRM dalam memerangi rasuah dan memastikan keadilan ditegakkan tanpa sebarang kompromi.
‘Malaysia tanpa rasuah’ bukan sahaja satu impian, malah ianya adalah tanggungjawab bersama semua pihak.
Jais Abdul Karim
Presiden
*Malaysian Corruption Watch (MCW)*