PEMERHATI RASUAH MALAYSIA (MCW) KOMITED BANTU SPRM PERANGI RASUAH DI NEGARA INI

PEMERHATI RASUAH MALAYSIA (MCW) KOMITED BANTU SPRM PERANGI RASUAH DI NEGARA INI
Putrajaya, 16 Oktober – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan agar Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menjalankan kajian berkaitan isu rasuah di negara ini bagi membantu SPRM meneruskan usaha memerangi rasuah seterusnya dapat meningkatkan imej negara.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki berkata, MCW selama ini banyak memberikan sokongan dan pandangan kepada SPRM dalam meningkatkan integriti, menyebarluas mesej antirasuah serta membantu mengurangkan ketirisan dalam negara.
“MCW juga sering mengadakan pelbagai dialog berkaitan isu rasuah dan memberikan pandangan mengenai isu semasa yang membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai rasuah,” katanya ketika menerima kunjungan hormat Ahli Majlis Tertinggi MCW, diketuai oleh Tuan Haji Jais Abdul Karim, di Bilik Mesyuarat Utama, Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.
Sementara itu, Presiden MCW, Haji Jais merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM atas kesudian menerima kunjungan kira-kira 40 ahli MCW termasuk Ahli Majlis Tertinggi MCW dan ini merupakan salah satu program MCW yang dilaksanakan setiap tahun sejak 2017.
“MCW juga menyatakan sokongan kepada SPRM atas segala usaha yang dilakukan kerana Malaysia memerlukan tindakan tegas SPRM dalam memerangi rasuah di negara ini dan ia perlu mendapat sokongan semua pihak,” katanya.
Dalam pertemuan itu, MCW turut menyampaikan pingat emas iaitu pingat Bintang Bakti MCW 2024 kepada Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam sebagai satu penghormatan diatas usaha dan pencapaian SPRM dalam usaha memerangi rasuah dalam negara ini.
Turut hadir Timbalan Presiden MCW, Rozaidi Abdul Rahim Razali.