Perkongsian bahan bacaan wajib (SEPTEMBER 2024)

PESANAN KHIDMAT MASYARAKAT MCW

Perkongsian bahan bacaan wajib (SEPTEMBER 2024)

Buku terbitan 2024 – Perjuangan Membanteras Jenayah Rasuah – MELENTUR BULUH BIAR DARIPADA REBUNGNYA
Kredit kepada penulis – Datuk Mohd Fauzi Hussin, Pengarah SPRM Kuala Lumpur

*BAB 16 – BENTUK DAN CONTOH KESALAHAN MENAWAR ATAU MEMBERI SUAPAN RASUAH*

Secara umumnya bentuk kesalahan ini menyatakan mana- mana orang atau ejen secara rasuah menawar atau memberi atau bersetuju memberi suapan seperti wang, barang berharga atau apa-apa perkhidmatan sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa berkaitan urusan rasmi majikan atau prinsipal berkenaan adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(b)(B) dan 17(b) Akta SPRM 2009.

CONTOH

Seorang penyeludup ditangkap oleh anggota Polis kerana menawarkan suapan rasuah RM10,000.00 bagi mengelak daripada ditangkap kerana membawa masuk sejumlah dadah dari negara jiran Thailand ke negara ini.

Contoh Kes Sebenar

1) Kes terhadap ahli perniagaan Ng Yin Wui telah didenda RM20,000.00 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas tertuduh mengaku bersalah atas lima pertuduhan memberi suapan rasuah berjumlah RM8,000.00 kepada Jurutera Tenaga Nasional Bhd (TNB) supaya tidak memotong bekalan elektrik di premis perniagaannya kerana kesalahan mencuri serta mengubah suai meter elektrik di bawah Seksyen 37(14) Akta Bekalan Elektrik 1990. (Astroawani: 26 Oktober 2023)

2) Kes terhadap Datuk Azman Bin Mahalan, Ahli EXCO Negeri Perak dan juga Ketua UMNO Bahagian Tapah. Pada 22 Januari 2010, Mahkamah Rayuan Ipoh telah mengekalkan hukuman penjara dua (2) tahun yang sebelum ini disabitkan oleh Mahkamah Sesyen. Tertuduh telah dituduh memberi suapan rasuah sebanyak RM2,000.00 kepada seorang kontraktor, Mohd. Kamal Rabaii. Suapan rasuah itu adalah sebagai dorongan kepada Mohd Kamal untuk tidak menerima tawaran penyelesaian daripada Pazli Abdullah Sani supaya dia, yang ketika itu Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tapah, kekal muflis dan tidak layak bertanding untuk menentang tertuduh bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Tapah. (Utusan Malaysia: 22 Januari 2010)

3) Pada 24 November 2015, seorang jurulatih sekolah memandu, Chiah Yeo Shong dijatuhi hukuman denda RM15,000.00 dan penjara sehari oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor. Tertuduh telah mengaku bersalah atas pertuduhan memberi suapan rasuah sejumlah RM1,000.00 kepada kakitangan Rangkaian Interaktif Laman Elektronik Kerajaan (RILEK) sebagai dorongan bagi meluluskan ujian undang-undang berkomputer untuk 23 pelajar sekolah memandu itu pada 26 Mac 2015. (Sinar Online: 24 November 2015)

4) Pada 18 Jun 2020, Mahkamah Khas Rasuah Sri Aman, Sarawak menjatuhkan hukuman penjara 15 hari dan denda RM75,000.00 ke atas tertuduh, Ting Hua Thai setelah mengaku salah cuba merasuah wang RM15,000.00 kepada seorang pegawai Polis. Suapan itu sebagai balasan supaya pegawai itu tidak mengambil tindakan ke atas tertuduh kerana menyimpan rokok pelbagai jenis yang belum diluluskan Jabatan Kastam, di bawah Seksyen 135, Akta Kastam 1967. Mahkamah juga memerintahkan wang berjumlah RM15,000.00 itu dilucuthak dan diserahkan kepada kerajaan Malaysia. (Sinar Harian: 18 Jun 2020)

5) Pada 8 Februari 2022, Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu telah menjatuhkan hukuman denda masing- masing RM10,000.00 terhadap dua peniaga kedai runcit Zia Ullah Mir Akbar Khan dan tertuduh kedua, Farman Ali Muhammad, setelah mengaku bersalah memberi suapan wang RM7,000.00 kepada seorang pegawai Polis, Deputi Superintendan Parum Niot, sebagai balasan bagi kedua- dua tertuduh mengelakkan diri daripada dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki rokok tidak bercukai. (BH Online: 8 Februari 2022)

6) Kes terhadap seorang peniaga cakera digital video (DVD), Lai Mo Jen telah didenda RM10,000.00 dan penjara tujuh hari oleh Mahkamah Sesyen Kuching, Sarawak kerana memberi suapan wang tunai berjumlah RM1,500.00 kepada seorang pegawai penguat kuasa. Hakim Nixon Kennedy Kumbong telah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah memberi suapan rasuah tersebut kepada Penolong Pegawai Penguat kuasa Bahagian Kawalan Penapisan Filem, Muhammad Fitri Anuar Zainal Abidin sebagai dorongan supaya tertuduh tidak dikenakan tindakan atas kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta Penapisan Filem 2002. (Utusan Online: 10 Mac 2016)