Pesanan khidmat masyarakat MCW – perkongsian bahan bacaan wajib

Pesanan khidmat masyarakat MCW – perkongsian bahan bacaan wajib.
OGOS 2024

Buku terbitan 2024 – Perjuangan Membanteras Jenayah Rasuah – MELENTUR BULUH BIAR DARIPADA REBUNGNYA
Kredit kepada penulis – Datuk Mohd Fauzi Hussin, Pengarah SPRM Kuala Lumpur

*BAB 5 – BOLEHKAH PERBUATAN JENAYAH RASUAH DIBENARKAN DALAM KEADAAN TERDESAK?*

Hukum asal jenayah rasuah adalah haram dan berdosa besar. Namun ada para ulama memberikan pengecualian dalam beberapa keadaan untuk seseorang itu memberikan suapan rasuah bagi mendapatkan haknya yang terhalang oleh seseorang penguasa atau hakim. Dia mengetahui tiada jalan lain untuk mendapatkannya melainkan dengan merasuah hakim atau penguasa yang jahat itu, maka dosa hanyalah ke atas orang yang meminta suapan rasuah.

Ada juga sebahagian ulama yang memberikan keringanan (Rukhsah) dalam keadaan tertentu berhubung dengan perbuatan memberi suapan rasuah kepada penjenayah atau orang jahat dalam keadaan mendesak seperti diugut bunuh atau dicederakan, ahli keluarga dianiaya atau harta benda akan dirosakkan. Hal ini selaras dengan prinsip keringanan dalam keadaan darurat yang mendasari ajaran Islam.

Allah SWT berfirman bermaksud:

Sesiapa yang melakukan suatu yang haram kerana terdesak, bukannya kerana dia sendiri menginginkannya dan tidak juga untuk melampaui batas, maka tiada dosa ke atasnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah al-Baqarah, Ayat 173)

Ibnu Taimiyyah menyatakan: Sekiranya seseorang itu telah memberikan kepada Ulil Amri (pemerintah) satu pemberian untuk menyekat kezalimannya ke atasnya atau supaya Ulil Amri itu memberikan hak yang wajib diberikan kepadanya, maka pemberian itu hukumnya haram ke atas penerima dan hukum harus kepada pemberi suapan rasuah untuk diberikan kepada si penerima suapan.

Ibnu Taimiyyah juga menjelaskan bahawa sebarang bentuk pemberian hadiah atau bentuk apa sekalipun kepada Ulil Amri (pemerintah) atau Qadhi (hakim) atau pihak yang bertanggungjawab dalam mengurus kewangan, adalah tidak diperboleh dan hukumnya adalah haram. laitu haram bagi kedua-dua pihak pemberi atau penerima hadiah itu.

Ibnu Hazm menyatakan, seseorang yang terhalang daripada haknya, lalu dia memberi suapan rasuah untuk mengelak kezaliman ke atas dirinya, hal tersebut diharuskan kepada pemberi, namun haram ke atas penerima rasuah itu.

Ibnu Qudamah pula berpendapat, transaksi sogokan dalam semua bentuk pekerjaan apa pun, hukumnya haram.