ISU BEKU AKAUN AMAN PALESTIN: SPRM WAJAR TERUSKAN SIASATAN, USAH CABAR, BERANI KERANA BENAR!

Kenyataan Media MCW

  1. ISU BEKU AKAUN AMAN PALESTIN: SPRM WAJAR TERUSKAN SIASATAN, USAH CABAR, BERANI KERANA BENAR!

28 November 2023

1. Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) secara tegas dan tanpa prejudis meminta pihak Aman Palestin bersikap lebih profesional serta memberikan kerjasama kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan tanpa gangguan. MCW percaya bahawa pihak SPRM bertindak berdasarkan data dan fakta.

2. MCW memandang serius terhadap telahan wujud konspirasi dalam isu ini. Hal ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya pihak Aman Palestin sentiasa mengamalkan tadbir urus bersih dan akauntabiliti yang baik dalam setiap operasi mereka. Berani kerana benar!

3. Pada pemerhatian kami, tindakan mencabar proses siasatan dalam kes ini, seolah-olah wujud agenda lain yang tersembunyi atau ada perkara yang tidak mahu didedahkan.

4. Merujuk kepada kenyataan Tan Sri Azam Baki pembekuan akaun bank tersebut dilakukan mengikut peruntukan undang-undang dan langkah biasa dalam siasatan rasuah. SPRM juga sudah bersedia untuk mendedahkan kepada mahkamah, justifikasi tindakan pembekuan 41 aset Aman Palestin Berhad bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 yang memberi kuasa kepada sesuatu agensi penguat kuasa untuk mengeluarkan perintah membekukan harta mana-mana orang.

5. Pihak Aman Palestin yang mendakwa bahawa mereka adalah NGO yang sudah 18 tahun memperjuangkan hak kemanusian sewajar lebih matang dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam proses siasatan ini. Biarkan SPRM teruskan siasatan ini dengan tegas dan adil. Jangan mencabar atau mengugat keadilan.

6. Proses siasatan SPRM tanpa sebarang tekanan perlu dilaksanakan demi membanteras penindasan terhadap rakyat Malaysia yang mungkin sudah lama tertipu atas sumbangan bantuan kemanusian Palestin selama ini.

JAIS ABDUL KARIM
Presiden
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)