RESPONS MCW BERKENAAN TRANSFORMASI UNDANG-UNDANG NEGARA

SOALAN WARTAWAN
11 Julai 2023

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam memaklumkan kerajaan telah merintis beberapa usaha transformasi undang-undang negara.

Selain menghapuskan hukuman mati mandatori, mahu mengkaji Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.

1. Apakah keperluan mendesak penambahbaikan yang perlu segera dilakukan kerajaan untuk melakukan reformasi undang-undang?

2. Adakah Akta Pendanaan Politik perlu disegerakan yang kini masih belum nampak hasil meskipun Datuk Azalina Othman Said mengatakan perkara itu masih di peringkat perbincangan jawatankuasa pilihan Parlimen?

3. Wajarkah Sekyen 17A Akta SPRM (Liabiliti korporat) diperluas kepada penjawat awam sebagai salah satu usaha transformasi undang-undang negara.

RESPONS MCW

1. Terdapat beberapa keperluan mendesak yang perlu segera dilakukan oleh kerajaan melalui reformasi undang-undang, antara lain:

a) Memperbaiki sistem perundangan untuk memastikan keadilan dan keberkesanan dalam sistem kehakiman negara. Ini termasuk penyediaan sumber manusia dan peruntukan kewangan yang mencukupi untuk mahkamah, pengurangan kelewatan dalam proses undang-undang dan pembaharuan dalam pendekatan kepada pembebasan bersyarat dan alternatif kepada hukuman penjara.

b) Menguatkuasakan perlindungan hak asasi manusia dan menghapuskan undang-undang yang berpotensi menindas atau membatasi kebebasan individu. Ini termasuk pemantauan dan pemeriksaan semula undang-undang yang berkaitan dengan kebebasan bersuara, berkumpul dan beragama.

c) Meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam sistem perundangan. Ini termasuk meningkatkan pemantauan terhadap tindakan pihak berkuasa, mengurangkan ruang berlakunya rasuah dalam sistem perundangan dan memastikan proses undang-undang yang terbuka.

d) Penambahbaikan sistem Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melibatkan proses pelantikan Ketua Pesuruhjaya dan pemberian kuasa autonomi serta diiktiraf sebagai sebuah badan berperlembagaan sendiri di bawah Parlimen Malaysia

2. Akta Pendanaan Politik merupakan isu penting dalam pembaharuan undang-undang. Meskipun Datuk Azalina Othman Said mengatakan perkara itu masih dalam peringkat perbincangan jawatankuasa pilihan Parlimen, penting untuk mempercepat proses pembaruan dalam bidang ini yang telah siap diderafkan sejak tahun 2017 lagi.

Undang-undang mengenai pendanaan politik yang lebih ketat dan telus akan membantu mencegah penyalahgunaan kuasa, mengawal pengaruh kewangan dalam politik dan memastikan proses politik yang lebih adil dan demokratik.

3. Idea untuk memperluas Sekyen 17A Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada penjawat awam adalah satu usaha yang penting bagi mengawal budaya rasuah yang semakin berleluasa kebelakangan ini.

Transformasi undang-undang melalui penerapan perkara liabiliti korporat kepada penjawat awam akan memberi kesan besar dalam meningkatkan akauntabiliti dan mencegah rasuah dalam sektor awam.

Ia pasti memberikan kesan pencegahan segera dan menyediakan hukuman yang lebih tegas terhadap penjawat awam yang terlibat dalam aktiviti rasuah. Keputusan untuk melaksanakan perubahan ini harus melalui proses kajian dan perbincangan yang komprehensif untuk memastikan kesesuaian dan keadilan dalam penguatkuasaan undang-undang di Malaysia.