RESPONS MCW-berhubung dengan isu kapal tempur pesisir (LCS)

Soalan wartawan kepada Presiden MCW – Pemerhati Rasuah Malaysia:
1. Apakah pandangan MCW berhubung dengan isu kapal tempur pesisir (LCS) yang dikatakan sehingga kini masih tiada penyelesaian?
2. Pada pandangan MCW, mengapakah siasatan dijalankan secara tertutup dan pihak SPRM tidak dapat dedahkan kepada umum dan menggunakan alasan ‘keselamatan negara’ sedangkan penyalahgunaan kuasa atau rasuah dikesan?
3. Apakah saranan MCW kepada pihak SPRM dan pihak bertanggungjawab dalam memastikan setiap kesalahan rasuah yang dikesan melibatkan agensi kerajaan diselesaikan dengan telus dan cekap?
RESPONS MCW
1. MCW berpendapat isu kapal tempur pesisir (LCS) adalah penting untuk diselesaikan dengan segera secara adil dan efektif. Kami dapat melihat komitmen jelas pihak SPRM yang telah berjaya membuat siasatan sehingga pendakwaan terhadap tertuduh pertama yang telah dibuat pada Ogos tahun lepas. Malah pihak SPRM juga sering memberi penekanan bahawa siasatan kes ini masih dilaksanakan dan lebih ramai individu akan dibawa ke muka pengadilan.
2. Dalam menghadapi kes seperti ini, SPRM dan semua pihak berkenaan perlu memastikan keselamatan dan kerahsiaan negara terpelihara. MCW memahami bahawa SPRM mesti menjalankan siasatan secara tertutup dengan mengutamakan keselamatan negara. Namun, pada masa yang sama, MCW juga berharap agar SPRM dapat memberikan maklumat yang mencukupi kepada orang awam untuk menjaga kepercayaan dan memastikan transparansi dalam proses siasatan. Dengan melibatkan pihak berkepentingan dalam dialog tertutup, MCW yakin keselamatan negara tetap terjamin sambil memenuhi keperluan ketelusan dan keadilan.
3. MCW sarankan pihak SPRM dan pihak lain yang bertanggungjawab untuk terus bekerjasama dan memperbaiki proses siasatan serta menangani setiap kesalahan rasuah dengan telus dan cekap. Adalah amat penting untuk dipastikan semua agensi kerajaan melaksanakan langkah-langkah pencegahan rasuah yang berkesan dan melibatkan semua pihak yang berkaitan. MCW juga ingin mendesak agar pemantauan dan penilaian berkala bagi memastikan kesan positif dan keberkesanan kepada setiap langkah pencegahan dan tindakan yang diambil.