Respons Media MCW berkenaan penempatan pegawai SPRM dalam agensi MARA
27 Mac 2023
1. Akta SPRM 2009 memperuntukkan tugasan Pencegahan bagi memastikan rasuah dan salah guna kuasa dapat dikawal terutamanya dalam syarikat berkaitan kerajaan dan agensi milik kerajaan.
2. Tugasan penting ini termasuklah memberi nasihat, membuat pemantauan dan mencadangkan sistem dan prosedur pencegahan rasuah yang sesuai dengan agensi tersebut.
3. MARA adalah sebuah agensi kerajaan yang mengendalikan dana yang amat besar pastinya terdedah kepada bahaya rasuah dan salah guna kuasa yang memerlukan pemantauan rapi pihak SPRM.
4. Masalah rasuah dan ketirisan yang pernah dilaporkan sebelum ini adalah bukti bahawa MARA terdedah kepada bahaya jenayah ini dan perlu sentiasa dipantau.
5. Sebagai sebuah agensi kerajaan yang telah lama wujud, MARA mesti mempunyai sistem yang mematuhi semua prinsip integriti dan bebas daripada rasuah dalam melaksanakan amanah tersebut.
6. Sekarang adalah masa yang tepat untuk SPRM meletakkan seorang pegawai mereka untuk memberi nasihat yang tepat berkenaan mekanisme pencegahan rasuah bagi menambah baik polisi dan prosedur yang sedia ada.
7. Selain dari memantau dan menyiasat aduan awam keatas agensi tersebut, pegawai SPRM di MARA perlu menjalankan penyiasatan dalaman secara berkala untuk memastikan mereka mematuhi prinsip integriti serta memberi latihan dan pendidikan kepada kakitangan tentang akhlak dan etika kerja yang betul, serta membekalkan mereka dengan pengetahuan mengenai undang-undang dan peraturan berkaitan rasuah.
Tindakan yang sistematik dan berterusan seperti ini amat perlu dalam memastikan semua agensi kerajaan kekal utuh berintegriti dan dipercayai oleh setiap lapisan rakyat secara telus dan adil.
Haji Jais Abdul Karim
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)