Wujud penyeludupan berterusan PATI dari Malaysia Timur ke Semenanjung Malaysia terutama babitkan warga Filipina. Apakah kesannya kepada isu keselamatan dan kedaulatan negara?
Penyeludupan ini mewujudkan ancaman keselamatan yang amat jelas di kawasan tersebut.
Pihak berkuasa pasti menyedari masalah ini yang akan membuka pintu kepada pelbagai masalah lain yang melibatkan isu pengedaran najis dadah, penyeludupan senjata api dan juga isu terorisma.
Jumlah PATI yang terlalu besar ini akan memberi impak sosial dan ekonomi serta menyulitkan tugas aggota penguatkuasa tambahan pula kecenderungan mereka untuk melakukan jenayah yang cukup tinggi.
Keamanan negara terjejas dalam jangka masa panjang kerana keterlibatan mereka dengan pelbagai jenis jenayah yang akan membawa kepada isu terorisma yang lebih serius pada masa hadapan.
Pihak berkuasa Malaysia wajib menjalinkan hubungan yang lebih akrab dengan negara tetangga bagi mencari penyelesaian yang lebih tuntas dan membolehkan masalah ini diatasi dengan segera dan lebih berkesan. Pelbagai langkah memperketatkan sempadan negara dan pengenalan kawalan digital imigresen serta undang-undang yang lebih tegas perlu bagi mengatasi masalah ini.
Pastinya isu begini membabitkan kerja `orang dalam’ yang dibayar sindiket terutama di lapangan terbang. Apa pandangan tuan Jais berikutan isu sebegini kerap diambil tindakan namun masih berlanjutan hingga kini.
Diakui bahawa masalah ini sukar diatasi kerana orang dalam turut terlibat namun tindakan yang tegas perlu diambil segera kepada para petugas di lapangan terbang supaya mereka akan dapat terus bertugas dengan penuh beretika dan profesional.
Pihak atasan di Jabatan Imigresen mesti memantau masalah ini dengan lebih teliti dan mencari penyelesaian segera termasuklah memindahkan segera pegawai yang dilihat berisiko tinggi dan tidak dapat dikawal.
Perlu dikerapkan dan ditingkatkan latihan dan pendidikan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa kepada para petugas di lokasi yang dikenal pasti itu disamping memberi kesedaran tentang pentingnya integriti diri mereka kepada keselamatan negara. Kerajaan mungkin perlu mempertimbangkan elaun khas agar mereka tidak akan tergoda kepada rasuah yang ditawarkan.
Seperti yang ditekankan oleh YAB PM pada pertemuan dengan belia pada hari Ahad yang lepas, gejala rasuah ini telah merebak luas daripada kepala hinggalah ke bahagian akar umbi. Akan tetapi, kita harus nekad mengatasi dan membanteras rasuah di negara kita. Banteras rasuah harus bermula daripada kita dan MCW mahu rakyat sedar bahawa kitalah merupakan mata dan telinga kepada SPRM bagi memastikan ketenteraman dan keselamatan negara terus terpelihara.
Apa saranan tuan bagi memastikan isu keselamatan pintu masuk negara terjamin. Apatah lagi membabitkan pintu udara yang dianggap amat sensitif.
Penguatkuasaan dan pemantauan gabungan pelbagai agensi penguatkuasaan perlu diperhebatkan. Dengan jumlah pegawai dan kerjasama pelbagai agensi termasuklah SPRM, serta pengenalan teknologi pengawasan terkini, kami yakin masalah ini dapat diatasi.
Kerjasama antara agensi penguatkuasa adalah kunci penting yang perlu disegerakan dalam hal melibatkan pengawasan bersama, pertukaran maklumat dan hal kerahsiaan.
Para pegawai imigresen perlu diberikan latihan khas berkaitan kesan ketirisan ini kepada keselamatan negara yang amat serius. Mereka perlu juga dibekalkan dengan teknologi pengesanan terkini dan kemahiran penyiasatan dalam memastikan tugas mereka dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Prosedur yang lebih ketat perlu diperkenalkan dalam memastikan masalah ini tidak lagi berulang. Individu atau pegawai lapangan terbang yang bebas keluar masuk kawasan larangan perlu melalui semula pemeriksaan latarbelakang bagi memastikan mereka tidak menjadi mangsa manipulasi penjenayah.
Kerajaan mesti pemperketatkan undang-undang yang sedia ada bagi menghapuskan terus sindiket ini. Hukuman mati perlu diperkenalkan untuk menakutkan penyeludup manusia ini kerana keselamatan negara berada dalam keadaan yang amat merbahaya.
Apa kelemahan yang tuan lihat dalam isu ini yang boleh diperbaiki?
Terdapat sekurang-kurangnya 4 kelemahan yang perlu dibaiki segera, antaranya;
1. Koordinasi antara pelbagai agensi penguatkuasa perlu dipertingkatkan. Inilah kelemahan ketara yang menyebabkan masalah ini gagal dikekang.
2. Sistem pengawasan yang kurang efektif: Meskipun telah ada sistem pengawasan di lapangan terbang namun masih terdapat kelemahan dalam sistem ini seperti kurangnya jumlah petugas, keterbatasan teknologi keselamatan canggih dan efektif serta kurangnya latihan dalam kalangan penyelia imigresen bagi mengesan masalah.
3. Peruntukan tidak mencukupi untuk melengkapkan imigresen kita dengan sistem dan teknologi keselamatan yang lebih terkini dan efisyen.
4. Masalah rasuah dan salah guna kuasa pegawai imigresen. Kuasa adalah ruang dan peluang yang terbaik untuk mereka melakukan jenayah ini. Tindakan tegas dan pengawasan yang lebih ketat amat diperlukan.
Dengan mengatasi kelemahan ini, diharapkan keselamatan pintu masuk negara terutamanya di lapangan terbang yang dianggap sangat sensitif dapat diatasi segera.