SEJARAH PENUBUHAN MCW
Hasrat untuk menubuhkan pertubuhan ini bermula atas kesedaran bahawa rasuah adalah Musuh Nombor Satu Negara. Beberapa individu dalam kalangan masyarakat awam bersatu tenaga dan pemikiran untuk menubuhkan sebuah NGO antirasuah bagi menyokong serta mendokong gerakan pencegahan rasuah yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Individu-individu, anggota pengasas pertubuhan ini yang dimaksudkan ialah Haji Jais Abdul Karim, Dr. Rozaidi Abdul Rahim Razali, Dato’ Dr. Haji Mazlan Ahmad, Dato’ Prof. Dr. GP Doraisamy, Julaila Samsudin, Mohd Zulkarnain Ismail dan beberapa individu yang tidak dapat dinyatakan di sini, namun jasa mereka tetap dikenang.
Nama Pemerhati Rasuah Malaysia atau Malaysia Corruption Watch (MCW) diambil sempena nama sebuah NGO yang berani dan berjaya membanteras rasuah di Jakarta, Indonesia. Berdasarkan pengalaman luar biasa sebuah NGO yang wujud daripada gerakan rakyat biasa membuatkan Haji Jais kagum dengan kemampuan Indonesia Corruption Watch (ICW) menentang rasuah di Indonesia. Pertemuan pertama beliau dengan ketua dan kakitangan ICW pada tahun 2016 membuka lembaran baharu bagi mempelajari selok-belok menubuhkan persatuan antirasuah yang agresif menentang rasuah di Malaysia. MCW ditubuhkan dan didaftarkan secara rasmi di bawah Akta Pertubuhan 1966, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 24 Julai 2017 dengan sokongan pihak SPRM. MCW mula beroperasi di Kajang, Selangor sehingga hari ini.
Konsep dan imej Logo MCW diilhamkan oleh anggota pengasas MCW, Dr. Rozaidi Abdul Rahim Razali, Timbalan Presiden 1 MCW setelah mencapai kata sepakat dengan Tuan Haji Jais mengenai maksud, hala tuju dan objektif penubuhan NGO ini. Objektif yang tercatat dalam Perlembagaan Penubuhan MCW akan menjadi lebih hebat sekiranya ahli-ahli MCW mampu menghayati maksud tersirat disebaliknya. Lambang, tulisan dan warna pada logo MCW membawa maksud tersendiri. Visi dan misi MCW akan tercapai dengan adanya komitmen barisan kepimpinan yang tinggi dan kerjasama hebat daripada semua ahli.
Mesyuarat Agung pertama MCW dirasmikan oleh bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad di Universiti Sains Malaysia pada 5 Ogos 2017 sempena Majlis Ikrar Bebas Rasuah untuk para pemimpin NGO dan PIBG di zon utara. Program ini adalah anjuran pertama MCW dengan kerjasama SPRM. Hampir seramai 500 peserta hadir bagi melafazkan Ikrar Bebas Rasuah yang disaksikan oleh bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM sendiri. Beliau juga antara insan yang sering memberi nasihat dan pandangan agar MCW meneruskan kerjasama dengan SPRM dalam menganjurkan program-program IBR seperti ini. Sambutan hangat daripada orang awam dan kerjasama yang baik dari pihak SPRM pada ketika ini, mendorong MCW terus aktif mengadakan program IBR yang sama di seluruh tanah air dengan jayanya.
Ketika MCW giat menelusuri peranan dalam perjuangan antirasuah ini, negara sedang berhadapan dengan kemuncak ‘political corruption’. Isu 1MDB adalah antara isu utama yang dikaitkan dengan perubahan mendadak kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tahun 2017 yang telah merosot dari tangga 55 pada 2016 ke tangga 62. Setahun kemudian, tampuk pemerintahan negara yang diterajui oleh Barisan Nasional mencatatkan sejarah kejatuhan dan tumbangnya sebuah kerajaan yang pernah memerintah selama 61 tahun di Malaysia.
MCW mengamalkan prinsip ‘non partisan’ dan komited untuk terlibat secara langsung dalam pelbagai aktiviti pencegahan rasuah melalui agenda pendidikan, perubahan budaya serta pelbagai cadangan kritikal yang akan dikemukakan bagi menambah baik sistem pencegahan rasuah di Malaysia. MCW juga mengalu-alukan kerjasama dan penyertaan pelbagai NGO, pihak swasta dan agensi kerajaan yang berminat dengan perjuangan ini. Selain itu, MCW juga berhasrat menjadi pemerhati yang aktif, mempunyai peranan penting bagi membantu pihak SPRM dan kerajaan dalam usaha menurunkan kadar jenayah rasuah di dalam negara. MCW juga mahu terkehadapan sebagai “pemimpin pendapat awam” untuk mengetengahkan idea dan memastikan penambahbaikan terhadap strategi memerangi rasuah negara dengan lebih mampan. Pada peringkat awal ini, Ahli MCW dibahagikan kepada empat (4) kategori utama mengikut kebolehan dan komitmen masing-masing. Menjelang genapnya usia dua tahun MCW, konsep keahlian MCW yang berdasarkan ‘by invitation only’ dan Mesyuarat AJK MCW dengan secara rasminya telah meluluskan keahlian seramai 183 orang.
Empat (4) kategori tersebut ialah:
(1) Ahli Jawatankuasa – Individu-individu yang dipilih dalam Mesyuarat Agung Tiga Tahunan MCW dan yang menawarkan diri untuk mengendalikan program-program tertentu.
(2) Ahli Lembaga Penasihat – Individu-individu yang dipilih dalam kalangan ahli yang berprofil tinggi, berilmu dan sentiasa menunjukkan komitmen dalam perjuangan antirasuah.
(3) Ahli Panel Pemikir – Individu-individu yang dipilih dalam kalangan ahli profesional yang berilmu pengetahuan tinggi dan merupakan pakar dalam bidang masing-masing.
(4) Aktivis – Ahli-ahli MCW lain yang berminat dalam perjuangan antirasuah dan sanggup menghadiri pelbagai majlis ilmu bagi menambah pengetahuan berkenaan hal berkaitan antirasuah serta integriti demi menjadi ‘key communicator’ kepada pelbagai lapisan rakyat Malaysia.
MCW berjaya melaksanakan 300 inisiatif dalam tempoh dua tahun ini (termasuk pelaporan kes dan dua program antarabangsa) yang telah disiarkan dalam pelbagai medium media sosial. Pengikut ‘Facebook – Malaysia Corruption Watch’ hampir mencecah 1,200 orang. MCW akan membuat hebahan berita, info atau pesanan khidmat masyarakat berkaitan rasuah dan memastikan seramai 1,000 individu menerima mesej atau berita yang diviralkan menerusi ‘personal whatsApp’ pada setiap hari. Kaedah ini cepat dan berkesan.
Pada 15 Julai 2018, Mesyuarat Agung Khas diadakan khusus untuk membuat pelantikan Ahli Jawatankuasa baharu bagi penggal 2018-2020. Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Tuan Romli Ishak hadir bagi menyampaikan ucapan perasmian dan kata-kata semangat kepada barisan kepimpinan baharu serta ahli-ahli MCW untuk meneruskan perjuangan menentang rasuah dengan lebih hebat.
Pergerakan MCW terus berjalan dengan lancar di bawah kepimpinan Haji Jais dan barisan kepimpinan baharu bagi penggal 2018-2019. Pelbagai aktiviti tanpa kos yang tinggi berjalan seperti biasa.
Pada 20 April 2019, Majlis Perhimpunan Tahunan Ahli MCW diadakan di Dewan Auditorium SPRM, Putrajaya dan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki. Dua individu istimewa dinobatkan sebagai penerima ‘Anugerah Ikon Antirasuah Negara’. Manakala ‘Anugerah Perkhidmatan Cemerlang’ diberikan kepada 20 orang ahli MCW yang benar-benar komited, sanggup menyumbang tenaga dan wang ringgit untuk membolehkan MCW terus aktif menjalankan aktiviti sehingga hari ini.
Sempena ulang tahun kedua penubuhan MCW, semua ahli berikrar untuk meneruskan perjuangan persatuan ini dengan lebih agresif bagi memastikan nama dan maruah Malaysia bersih di mata dunia. Setiap ahli wajib menunaikan akujanji ‘Ikrar 5B’ yang diperkenalkan oleh Presiden MCW dan mengamalkan kehidupan bersih tanpa rasuah.
(Petikan dari buku Merintis Peranan Dalam Pelan Antirasuah Nasional)
Leave a Reply