MCW@RESPON MEDIA
RESPON MEDIA MCW TERHADAP TINDAKAN SPRM BAKAL MENGUMUMKAN SENARAI RANKING KEMENTERIAN BERDASARKAN KEDUDUKAN ISU RASUAH DAN SALAH GUNA KUASA PADA HUJUNG TAHUN INI.
Malaysia Corruption Watch (MCW) menganggap tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah(SPRM) mengumumkan ranking atau rating sesebuah kementerian di Malaysia berdasarkan kualiti integriti dan kadar rasuah atau salah guna kuasa secara tahunan adalah satu langkah yang wajar dilakukan di dalam keadaan rasuah negara kita hari ini. Walaupun tindakan ini bukan sesuatu yang baharu namun ianya perlu diguna pakai secara berterusan bagi memastikan beberapa kementerian yang bakal diumumkan dapat memperbaiki kedudukan prestasi perkhidmatan yang lebih bersih dan amanah.
Memandangkan sebelum ini pemberian rangking kementerian dan jabatan dalam perkhidmatan awam sudah pun diperkenalkan. Contohnya JPA memperkenalkan ‘Star rating’ kepada agensi-agensi kerajaan, ICU dan JPM juga perkenalkan ‘Penilaian Outcome’, Jabatan Audit Negara dengan rating ‘5 Star Audit Rating’ di samping pemberian Sijil Bersih atau bersyarat.
Justeru, MCW berpendapat bahawa pengumuman YBhg. Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Ketua Pesuruhjaya SPRM, bukanlah satu perkara yang pelik. Pengumuman rating ini juga boleh menghindarkan salah persepsi masyarakat terhadap beberapa jabatan yang kurang popular tetapi terdedah kepada rasuah seperti Jabatan Bomba atau Jabatan Laut yang kurang berurusan dengan orang ramai.
MCW melihat, tujuan pengumuman ini tidak ada unsur untuk menjatuhkan imej atau memalukan mana-mana pihak ataupun kementerian tertentu. Hakikatnya ranking ini dapat memberikan kesedaran dan peluang untuk membentuk tindakan preventif dan punitif. Pihak SPRM sudah pasti jelas dengan objektif diadakan kajian dan hasil dapatan berkaitan ranking ini dan bukan ‘suka-suka’ atau mencari ‘populariti murahan’ seperti yang digembar-gemburkan kebelakangan ini. Selain itu, konsep ini dapat membentuk kesedaran bersama kerana rating yang dikeluarkan akan melibatkan tanggungjawab semua pihak dan tidak hanya merujuk kepada individu sahaja bagi memperbaiki imej kementerian tersebut.
MCW juga menyarankan agar pihak SPRM dapat menekan aspek-aspek penting dalam kajian rating untuk mengurangkan kadar rasuah dalam kementerian yang terbabit. Kami juga percaya dengan pelaksanaan ini kedudukan sistem kementerian akan lebih fokus pada bidang-bidang utama dan dapat mengurangkan kadar rasuah terutamanya perkara-perkara yang berkaitan dengan pengawasan bajet dan perbahasan, ketelusan bajet, audit luaran, pemantauan dasar dan perbahasan, pemantauan belanjawan rahsia, perisikan perkhidmatan, pengawasan dan penyeliaan perolehan. Kesemua aspek ini amat penting ditekankan dalam setiap kajian dan hasil penemuan yang berpusat bagi mengelakkan hasil dapatan kajian ini membazir wang peruntukan dan hanya pada tahap kayu ukur biasa sahaja; sepertimana yang dilakukan oleh sesetengah agensi atau badan yang dipertanggungjawabkan dalam memantau indeks rasuah tanpa membuat pendedahan ranking sewajarnya.
MCW juga yakin bahawa pihak SPRM pasti akan lebih berhati-hati dalam memperkasa kaedah penilaian dan mekanisma untuk digunakan sebagai ‘kayu ukur’ dalam menentukan rating tersebut. Pengumuman keputusan ‘rating’ tersebut penting sebagai satu ‘kejutan’ kepada kakitangan awam dan pengurusan dalam jabatan tersebut agar lebih bersedia bahawa mereka sedang dipantau dan diperhatikan dalam memastikan ketelusan dan kepatuhan kepada segala garis panduan yang ada dalam jabatan mereka. Pengumuman ini juga tepat pada masanya kerana rakyat Malaysia benar-benar ingin melihat setiap agensi kerajaan bersih dari setiap aspek dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada negara.
JAIS ABDUL KARIM
Presiden
Pemerhati Rasuah Malaysia @ Malaysia Corruption Watch (MCW)
12 Oktober 2017
Leave a Reply