Soalan wartawan berhubung dengan rancangan kerajaan untuk tingkatkan gaji kakitangan awam

Soalan wartawan berhubung dengan rancangan kerajaan untuk tingkatkan gaji kakitangan awam
1. Adakah dengan kenaikan gaji penjawat awam ini dapat meningkatkan integriti mereka yang sebelum ini dipersoalkan orang ramai?
2. Adakah kenaikan gaji mencukupi untuk memenuhi keperluan asas penjawat awam?
3. Adakah kenaikan gaji ini perlu disertakan dengan latihan etika dan kesedaran rasuah?
4. Adakah terdapat pelan insentif atau ganjaran selain daripada gaji berkaitan dengan prestasi atau tingkah laku yang bermoral dapat menggalakkan penjawat awam untuk mematuhi kod etika dan menjauhi rasuah.?*Respons MCW*
1.MCW bersetuju bahawa kenaikan gaji penjawat awam adalah amat perlu dewasa ini demi memenuhi keperluan asas kehidupan yang menigkat mendadak sekali gus dapat mengurangkan gejala rasuah. Integriti dan motivasi kehidupan mereka pasti akan meningkat kerana terdapat kaitan yang tinggi antara faktor rasuah dan kos sara hidup. Ramai penjawat awam memberi alasan mereka berdepan tekanan kewangan hingga terpaksa membuat pilihan termasuk menerima rasuah atau berhutang bagi memenuhi keperluan keluarga.
2.Kenaikan gaji adalah perkara asas yang perlu bagi memenuhi keperluan penjawat awam kerana masalah integriti berkait rapat dengan tekanan kewangan dan ketidakseimbangan ekonomi. Seperti di negara maju yang lain, gaji yang mencukupi telah terbukti berjaya meningkatkan mutu perkhidmatan dan profesionalisme mereka. Malah, negara jiran Indonesia juga telah memberi kenaikan gaji khas 8% untuk penjawat awam mereka. Pemikiran yang segar tanpa perlu memikirkan sangat tentang kekangan kewangan sudah pasti akan membolehkan mereka fokus kepada tugasan harian. Ini adalah perkara normal kepada setiap manusia.
3.Kenaikan gaji mestilah disertakan dengan penambahbaikan mutu pekerjaan terutamanya berkaitan integriti. Adalah wajar penjawat awam yang bakal menikmati kenaikan gaji ini dikehendaki menandatangani perjanjian khas untuk menjadi bertambah baik dan sanggup menerima hukuman yang lebih berat jika mereka masih mengulangi kesalahan yang sama. Mereka juga wajib menjalani kursus etika dan kesedaran antirasuah secara berkala dengan lebih kerap bagi meningkatkan mutu pekerjaan mereka.
4.MCW berpendapat bahawa insentif dan ganjaran selain gaji yang sedia ada dalam perkhidmatan awam sekarang sudah mencukupi. Mereka diberikan APC – Anugerah Perkhidmatan Cemerlang yang memberikan hadiah dan kepuasan terbaik malah mendapat insentif khas kerajaan jika melaporkan kes rasuah yang berjaya menjimatkan dana kerajaan. Sebagai anggota perkhidmatan awam, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk berkhidmat dengan secemerlang mungkin selaras dengan dasar pekerjaan semasa mereka memohonnya dan pendapatan yang mereka terima. Pendapatan yang halal semestinya mencukupi dan berkat jika tiada sikap tamak atau berbelanja melebihi pendapatan.