PENGGILIRAN KERJA MENGURANGI PERBUATAN JENAYAH RASUAH?

BAB 32
PENGGILIRAN KERJA MENGURANGI PERBUATAN JENAYAH RASUAH?
Isu-isu pelanggaran tatakelakuan dan jenayah rasuah dalam kalangan pegawai awam yang bertugas sesetengah kementerian, jabatan atau agensi kerajaan yang berisiko tinggi kepada jenayah rasuah, sering menjadi berita panas dan menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan orang awam dan media sosial kepada perkhidmatan awam. Penggiliran kerja atau pertukaran pegawai awam merupakan salah satu fungsi pengurusan sumber manusia yang penting. Pegawai awam akan dapat memberi perkhidmatan yang lebih cemerlang sekiranya ditempatkan di jawatan yang bersesuaian dengan kompetensinya. Urusan pertukaran pegawai awam yang tidak dilaksanakan dengan baik akan memberikan kesan yang negatif bukan sahaja kepada organisasi tetapi kepada pegawai yang terlibat.
“Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2004-Panduan Pertukaran Pegawai Awam”, adalah bertujuan untuk memastikan pegawai awam meningkatkan pengetahuan dan pembelajaran dalam persekitaran kerja dan ruang berbeza, menambahkan pengalaman kerja, meningkatkan produktiviti, membendung rasa bosan, memperluaskan networking pegawai, mencegah berlaku perbuatan jenayah rasuah dan pelanggaran tatakelakuan. Mengikut Pekeliling itu, panduan dasar pertukaran seperti berikut;
a) menukarkan pegawai yang telah berkhidmat sekurang- kurangnya tiga (3) tahun tetapi tidak melebihi lima (5) tahun di suatu jawalan yang diklasifikasikan sebagai jawatan sensitif;
b) menukarkan pegawai yang telah berkhidmat sekurang- kurangnya tiga (3) tahun tetapi tidak melebihi lapan (😎 tahun di suatu jawatan yang diklasifikasikan sebagai jawatan bukan sensitif;
c) seseorang pegawai itu boleh ditukarkan sama ada atas arahan Ketua Jabatan ataupun atas permintaan pegawai itu sendiri yang dipersetujui oleh Ketua Jabatan berdasarkan kepentingan perkhidmatan tanpa terikat dengan tempoh perkhidmatan yang dinyatakan di perenggan (i) dan (ii) di atas; dan
d) tidak menggunakan pertukaran sebagai hukuman kecuali pertukaran tersebut dapat membantu melicinkan proses tindakan tatatertib yang sedang diambil terhadap pegawai berkenaan.
Ada tiga kategori jawatan dan tempat berisiko tinggi yang mudah terdedah kepada bahaya jenayah rasuah dan pelanggaran tatakelakuan, iaitu;
a) Hot Job – Jawatan yang berisiko seperti penguatkuasaan undang-undang, pegawai terlibat meluluskan kontrak atau pembelian, pengurusan permit atau lesen;
b) Hot Staff – Pegawai yang mempunyai rekod tohmahan jenayah rasuah atau pernah disiasat oleh SPRM tetapi tidak cukup bukti, pernah ditegur oleh Jabatan Audit Negara kerana pelanggaran prosedur kewangan atau pegawai terlibat dengan salah laku atau pelanggaran tatakelakuan; dan
c) Hot Spot – Tempat kerja yang berisiko tinggi terdedah kepada jenayah rasuah seperti bahagian kewangan, perolehan, projek, penyelenggaraan aset, penguatkuasaan undang-undang dan pelesenan.