Kenaikan gaji penjawat awam punyai kaitan rendah dengan PRK KKB – MCW

Kenaikan gaji penjawat awam punyai kaitan rendah dengan PRK KKB – MCW

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW),-Jais Karim

KENAIKAN gaji penjawat awam yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam disifatkan punyai kaitan rendah bagi tujuan mempengaruhi undi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abd Karim dalam kenyataan berkata, pengumuman mengenai kenaikan gaji itu dibuat secara nasional dan memberi manfaat kepada semua penjawat awam di seluruh negara.

Jais memaklumkan, peningkatan gaji itu dilihat sesuai bagi mengatasi masalah integriti penjawat awam yang dikatakan mudah mengambil rasuah atas faktor gaji rendah.

Bagaimanapun, Jais menegaskan, kerajaan perlu berhati-hati supaya tiada unsur politik yang boleh mencemarkan proses demokrasi.

“Semua pihak perlu menghormati proses pilihan raya untuk memastikan keputusan rakyat tidak dipengaruhi oleh tindakan-tindakan yang tidak matang.

“Dalam hal ini, MCW amat berharap kerajaan lebih tegas dalam tindakan mengawal kenaikan harga barang yang semakin meruncing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Jais turut yakin kerajaan mempunyai justifikasi spesifik atas keperluan pengumuman tersebut.

“Namun, sangat penting kerajaan berhati-hati dalam setiap pengumuman berkaitan dasar ekonomi atau kewangan.

“Sewajarnya disampaikan secara profesional dan perlu dilakukan menerusi proses yang tepat bagi memastikan tidak ada ruang spekulasi untuk dijadikan isu politik oleh pihak-pihak tertentu,” katanya.

Dalam pada itu, Jais berharap supaya kenaikan gaji ini benar-benar dapat menyelesaikan masalah tekanan kos sara hidup dan dapat diseimbangkan dengan kenaikan harga barang semasa.

Justeru, kata beliau, pengumuman pada peringkat nasional itu merupakan impak positif dalam meningkatkan tahap integriti dan mengurangkan rasuah dalam kalangan mereka.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan penjawat awam akan menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus bermula Disember tahun ini iaitu kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam negara.

Perdana Menteri memaklumkan, peningkatan gaji melebihi 13 peratus itu akan melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

“Sejarah kenaikan paling tinggi sebelum ini adalah 13 peratus dan tahun ini, saya akan mengumumkan kenaikan lebih tinggi daripada 13 peratus,” jelas beliau.

Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga akan meningkatkan gaji bagi memastikan jumlah pendapatan minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan.

Kenaikan gaji penjawat awam punyai kaitan rendah dengan PRK KKB – MCW