25 SOALAN LAZIM BERKAITAN MCW

Setiap individu lebih mudah mengenal MCW menerusi 25 soalan lazim seperti berikut:

A. UMUM

1. ADAKAH MCW SEBUAH PERTUBUHAN YANG BERDAFTAR?

Berdaftar sebagai Pemerhati Rasuah Malaysia atau Malaysia Corruption Watch (MCW) pada 24 Julai 2017 menerusi Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) dengan nombor pendaftaran PPM-010-14-24072017.

2. APAKAH VISI DAN MISI MCW?

VISI UTAMA adalah untuk bertindak sebagai NGO pemangkin Gerakan Antirasuah Malaysia yang agresif dalam usaha membanteras rasuah negara dengan berkesan.

MISI MCW adalah untuk memantau dan melaporkan insiden rasuah di Malaysia. MCW juga terlibat dalam usaha pencegahan rasuah menerusi pendidikan, perubahan budaya, pelaporan dan pembaharuan sistem memerangi rasuah. MCW akan berterusan menggalakkan ketelusan, akauntabiliti dan melindungi para benefisiari barangan, perkhidmatan awam, rakyat serta pastikan negara BERSIH RASUAH.

Di samping itu MCW berazam untuk:

  • Membebaskan Malaysia dari segala bentuk rasuah.
  • Memastikan semua penjaga kepentingan awam bertindak secara bertanggungjawab dengan memastikan peluang untuk melakukan hal berkaitan rasuah dikurangkan demi kepentingan masyarakat Malaysia.
  • Memastikan wujud penglibatan aktif masyarakat awam dalam usaha memerangi jenayah rasuah di samping menggalakkan golongan ini berani tampil kehadapan bagi melaporkan jenayah rasuah demi kesejahteraan Malaysia.

3. SIAPAKAH BARISAN KEPIMPINAN MCW UNTUK PENGGAL 2017-2020?

Kesemua individu yang dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Tertinggi pada 5 Ogos 2017 yang lalu terdiri daripada masyarakat awam yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing terutamanya NGO di Malaysia. Teraju kepimpinan MCW diketuai oleh Tuan Haji Jais Abdul Karim yang merupakan bekas Presiden GPMS sesi 2009-2015.  Selain itu, mereka yang dilantik terdiri daripada pelbagai profesion dan berminat memberikan komitmen dalam perjuangan anti rasuah MCW. Senarai lengkap saf kepimpinan dan latar belakang mereka boleh dilihat di laman sesawang www.corruptionwatch.my atau di FB: Malaysia Corruption Watch – MCW.

4. BAGAIMANAKAH HUBUNGAN MCW DENGAN SPRM?

Atas kesedaran dan rasa tanggungjawab bahawa rasuah mesti diperangi, MCW komited sebagai sebuah Gerakan Masyarakat Umum atau NGO yang terlibat secara langsung dengan pelbagai program yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). MCW sentiasa bersedia untuk memberi pandangan, idea atau teguran membina kepada SPRM dari masa ke semasa demi memastikan SPRM dapat berdiri teguh. MCW akan mempertahankan hak SPRM sebagai suruhanjaya yang bebas tanpa gangguan dalam menjalankan tugasan siasatan dan pergerakan antirasuah yang dihormati di dalam serta luar negara.

5. APAKAH MAKSUD LOGO MCW?

  • Setiap warna dan bentuk logo ini mempunyai maksud yang tersendiri. Logo berbentuk tulisan kemas yang berwarna putih dan berlatar belakang warna biru menggambarkan disiplin serta fokus pertubuhan ini terhadap gerakan revolusi menentang rasuah dengan tegas. MCW berdiri teguh bersama komitmen barisan kepimpinan yang tinggi demi memastikan visi, misi dan objektif pertubuhan ini mencapai matlamat.

6. APAKAH MOTO MCW?

  • “ANTI RASUAH BERMULA DARIPADA DIRI ANDA SENDIRI”
  • “ANTI CORRUPTION START FROM YOU

7. APAKAH COGAN KATA MCW?

  • “KOMITED. AGRESIF. PERANGI RASUAH

8. APAKAH OBJEKTIF UTAMA PENUBUHAN MCW?

Objektif utama MCW adalah untuk menggalakkan penyertaan masyarakat agar lebih aktif melaporkan salah laku atau kejadian rasuah bagi bersama-sama menjayakan gerakan memerangi rasuah di Malaysia.

9. APAKAH FOKUS UTAMA MCW?

MCW fokus kepada enam (6) program ini:

  • Pemantauan mengenai Hal Perundangan dan undang-undang.
  • Pemantauan Rasuah Politik.
  • Penyelidikan dan Kajian mengenai Rasuah Sistemik.
  • Perhubungan dengan SPRM dan Menyokong Kempen Antirasuah.
  • Program Pendidikan mengenai Antirasuah dan Integriti.
  • Penerimaan Aduan Awam mengenai hal rasuah dan salah guna kuasa.

 B. KEAHLIAN

10. BAGAIMANAKAH CARA UNTUK MENJADI AHLI MCW?

STRATEGI PENGAMBILAN AHLI MCW menggunakan kaedah ‘by invitation only’. Kaedah ini penting bagi memastikan keahlian MCW unggul, berkualiti, benar-benar memahami pergerakan antirasuah dan sanggup memberi komitmen dalam pelbagai aspek demi menjayakan visi, misi dan objektif penubuhan MCW sebagai sebuah NGO antirasuah yang eksklusif.

11. APAKAH YANG DIHARAPKAN DARIPADA AHLI MCW?

Harapan MCW; setiap Ahli MCW akan menjadi pemimpin yang mempunyai pengikut masing-masing, tidak mengejar populariti, menjadi contoh kepada orang lain dan AMAT BERTANGGUNGJAWAB.

12. APAKAH PERANAN YANG BOLEH DIMAINKAN OLEH AHLI MCW?

  • Setiap ahli MCW boleh menggunakan kelebihan atau minat yang ada pada diri masing-masing untuk melaksanakan aktiviti yang selaras dengan objektif MCW.
  • Mereka sendiri mesti bertekad untuk menghindarkan diri sendiri dari terlibat dengan rasuah.
  • Mereka MESTI menjadi penggerak utama ke arah menjadikan Malaysia negara maju menerusi amalan menegakkan INTEGRITI dalam usaha memerangi semua gejala RASUAH dengan memainkan peranan sebagai pejuang, pemberi maklumat, berfungsi sebagai mata dan telinga yang amat peka bagi melaporkan kejadian berunsurkan rasuah serta salah guna kuasa.

13. BAGAIMANAKAH MASYARAKAT BOLEH MENAWARKAN DIRI UNTUK BERKHIDMAT BERSAMA MCW?

  • Anggota masyarakat yang berminat dengan MCW boleh mendaftarkan diri sebagai Sukarelawan MCW. Mereka akan dijemput menyertai pelbagai program yang sesuai dan menarik.
  • Mereka juga boleh berkhidmat berdasarkan kepada kemahiran dan minat yang ada pada diri masing-masing. Sila tawarkan diri anda menerusi WhatsApp +60178111472 untuk berkomunikasi dengan pengurusan MCW.

14, APAKAH KATEGORI KEAHLIAN MCW?

  • AHLI BIASA

Berumur 18 tahun ke atas dan mempunyai jati diri yang tinggi untuk menghindarkan diri daripada perlakuan rasuah. Membayar yuran pendaftaran sebanyak RM 30 dan yuran tahunan sebanyak RM 50 setahun ATAU yuran seumur hidup sebanyak RM 200.

 

  • AHLI BERSEKUTU

Terbuka kepada mana-mana persatuan atau pertubuhan yang berdaftar di Malaysia.

  • AHLI KEHORMAT

Terbuka kepada individu yang berjasa kepada masyarakat berdasarkan pencalonan daripada ahli MCW atau dianugerahkan oleh MCW kepada individu yang difikirkan wajar dan layak. Tiada yuran dikenakan dan menerima hak sebagai ahli kecuali hak mengundi dan diundi.

  • AHLI SUKARELAWAN

Terbuka kepada mana-mana individu yang berminat tanpa had umur dan tanpa membayar   sebarang yuran. Boleh menyertai pelbagai program, menjadi aktivis dan tidak memegang sebarang jawatan dalam organisasi MCW.

Nota penting: Kesemua kategori keahlian ini perlu didaftar dan diluluskan dalam mesyuarat rasmi AJK MCW.

C. STRATEGI

15. APAKAH STRATEGI MCW BAGI TAHUN 2018?

MCW telah merancang EMPAT (4) strategi utama untuk dilaksanakan pada tahun 2018:

  • MCW menyediakan pelbagai kaedah untuk melaporkan jenayah rasuah. Sesiapa sahaja boleh berkongsi pengalaman atau masalah mereka berkenaan rasuah dengan selamat menerusi talian khas WhatsApp, FB Messenger, e-mel atau melalui pos.
  • MCW akan melaksanakan pelbagai kempen bersama masyarakat bagi menyatakan pendirian menentang rasuah. Kempen MCW ini akan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat, pelbagai NGO dan menyokong program antirasuah yang dijalankan oleh SPRM.
  • MCW mengumpul dan menganalisa maklumat bagi mengenal pasti bentuk dan punca berlakunya jenayah rasuah. Menerusi penyelidikan ini, MCW akan mendedahkan dan mencari penyelesaian kepada Rasuah Sistemik. Hasil dapatan kajian ini akan dikongsi menerusi media sosial MCW bagi memastikan maklumat tersebar dengan pantas dan dapat MENYEDARKAN penjawat awam, pekerja swasta dan masyarakat negara ini yang menjadi mangsa rasuah.
  • MCW akan tampil kehadapan mengetuai NGO-NGO lain di Malaysia dalam memerangi jenayah rasuah. MCW akan pastikan bertindak adalah lebih BERKESAN berbanding sekadar ‘kata-kata’ tanpa sebarang usaha. Kepimpinan MCW sentiasa BEBAS dan mengekalkan kerjasama rapat dengan SPRM dalam pergerakan pencegahan rasuah di Malaysia

16. APAKAH PRINSIP UTAMA MCW?

MCW MESTI menjadi sebuah NGO yang memperjuangkan rasuah dengan prinsip NON PARTISAN, tidak cenderung kepada jantina atau bangsa dan bersifat BEBAS dan tidak terikat dengan mana-mana pihak.

17. APAKAH PENDEKATAN UNTUK MEMASTIKAN PRESTASI & KERELEVANAN MCW BERTERUSAN?

  • Dari segi kepimpinan, MCW mengamalkan pendekatan sebagai sebuah NGO yang akan memimpin dari hadapan, ahli-ahli MCW dikehendaki mempamerkan integriti diri yang tinggi dan komitmen dalam menyertai program yang dilaksanakan.
  • Fokus utama pergerakan MCW merangkumi 6 Key Result Area (KRA) dan berdasarkan objektif penubuhan MCW. Memastikan program yang berimpak tinggi dengan sasaran 80% penyertaan orang awam pada setiap kali program dijalankan.
  • Kejayaan perlaksanaan pelbagai aktiviti akan dinilai bermula daripada bahan atau pengisian dan impak akhir berdasarkan respon peserta serta masyarakat awam. Sikap pro-aktif diamalkan semasa pelaksanaan program. Mengadakan hubungan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan terutamanya Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM (PENMAS) dan pelbagai NGO dalam perlaksanaan program kesedaran atau pendidikan. Selain itu, MCW juga bertindak sebagai pendesak terhadap sesuatu isu berkaitan rasuah atau salah guna kuasa sebagai kayu ukur utama keefektifan MCW.

18. APAKAH 6 KRA (KEY RESULT AREA) MCW?

  • Memerhatikan perlakuan rasuah di Malaysia menerusi pelaporan dan memberi maklum balas kepada pihak berkuasa untuk tindakan segera.
  • Menambah baik keyakinan rakyat Malaysia terhadap SPRM dan kerajaan Malaysia berdasarkan segala komitmen serta aktiviti pencegahan rasuah yang telah dilaksanakan.
  • Mendesak pihak kerajaan untuk melaksanakan langkah-langkah pencegahan rasuah berdasarkan penyelidikan, hasil dapatan dan respon daripada masyarakat.
  • Mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat Malaysia mengenai peranan serta fungsi mereka dalam pencegahan rasuah.
  • Menjadikan MCW sebagai NGO contoh kepada negara luar sebagai pertubuhan yang menjadikan perjuangan antirasuah sebagai satu keutamaan dan mementingkan peningkatan integriti dalam pentadbiran negara. MCW juga bertindak sebagai rakan strategik kepada SPRM bagi berhubung dengan NGO-NGO lain di Malaysia terutamanya dalam aspek ‘good governance’ (Tadbir Urus yang baik), kempen antirasuah dan peningkatan integriti.

19. PIHAK MANAKAH YANG MENJADI PERHATIAN UTAMA MCW?

MCW menetapkan 4 perkara penting yang akan diperhatikan iaitu:

  • 5 sektor yang paling tinggi tahap rasuah akibat mainan politik iaitu (i) parti politik, (ii) polis, (iii) badan kehakiman, (iv) parlimen dan (v) pentadiran.
  • Perkhidmatan awam dan agensi-agensi kerajaan.
  • Pihak swasta dan syarikat milik kerajaan
  • Badan kehakiman dan perundangan.

20. BAGAIMANAKAH MCW MENGUKUR KEJAYAAN PERJUANGAN MCW?

  • Pemerkasaan organisasi kepimpinan MCW (Penasihat, AJK, Pemikir dan Koordinator) dalam mengekalkan hubungan dan kerjasama bagi melaksanakan pelbagai aktiviti dalaman atau program peringkat negeri atau kebangsaan atau antarabangsa.
  • Mencapai matlamat yang telah digariskan dengan jelas iaitu menjadikan ANTIRASUAH sebagai keutamaan MCW.
  • Mampu memenuhi kehendak masyarakat dan memberikan KEPUTUSAN (impak) YANG BESAR SERTA CEPAT.
  • Berdisiplin dalam semua tindakan
  • Menggunakan kaedah atau pelaksanaan KRA (Key Result Area) dan KPI (Key Performance Indicators), penilaian berterusan terhadap semua program dan ahli-ahlinya berfungsi mengikut minat masing-masing berdasarkan etika yang ditetapkan untuk memastikan MCW sebagai NGO yang berfungsi dan aktif.
  • Mengamalkan konsep ‘menang-menang’ dengan semua rakan NGO, agensi kerajaan, sektor swasta, ahli politik dan para penderma yang budiman. Konsep ini adalah untuk mewujudkan semangat kebersamaan dalam memerangi rasuah dan mengekalkan hubungan di antara satu sama lain sebagai sebuah badan gabungan antirasuah.

21. BAGAIMANAKAH MCW BOLEH DIHUBUNGI?

ALAMAT:          No. B- 2-1A, Jalan. Prima Saujana 2/G, Taman Prima Saujana,

43000 Kajang, Selangor.

TEL      :           03 – 8741 5457              FAKS:  03 – 8734 0800   WHATSAPP: +6017-811 1472

E-MEL  :           malaysiacorruptionwatch@gmail.com      WEB:    www.corruptionwatch.my

FACEBOOK:     Malaysia Corruption Watch – MCW         BLOG:  malaysiaantirasuah.blogspot.my

D. KEWANGAN

22. DARI MANAKAH SUMBER KEWANGAN MCW?

Pergerakan MCW bermula dengan sumbangan peribadi daripada setiap anggota pengasas, Ahli Jawatankuasa dan beberapa individu dalam kalangan Ahli Lembaga Penasihat serta Pemikir MCW. Setakat ini, program-program pendidikan antirasuah MCW dijayakan dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM (PENMAS). Kos asas program (dewan, makan & minum) disediakan oleh PENMAS dan selebihnya ditampung oleh pihak pengurusan MCW dalam bentuk sumbangan peribadi ahli MCW. MCW akan meneruskan usaha mencari dana dengan mewujudkan Biro ‘fund-raising’ bagi tujuan membiayai kos pentabiran pejabat dan program-program yang akan diadakan pada masa akan datang. MCW amat mengalu-alukan sumbangan dari pihak agensi kerajaan dan korporat atau orang perseorangan. Semua dana yang diperoleh akan diumumkan menerusi laman sesawang rasmi MCW, mesyuarat AJK Tertinggi MCW dan juga Laporan Tahunan yang akan diterbitkan pada setiap penghujung tahun.

23. APAKAH STATUS DAN DASAR SUMBANGAN KEPADA MCW?

  • Setiap sumbangan kepada MCW mestilah ikhlas dan tidak mengharapkan apa-apa balasan.
  • Setiap penyumbang dibolehkan memberi sumbangan tunai tidak lebih daripada RM 50,000 setahun dan sumbangan akan segera dipulangkan sekiranya penyumbang mula disiasat oleh pihak SPRM atau mana-mana pihak berkuasa di dalam Malaysia.
  • Kami sedang mengusahakan pelepasan cukai untuk setiap penyumbang yang memerlukannya.

24. APAKAH MANFAAT ATAU PENGHARGAAN SEBAGAI PENYUMBANG DANA?

  • Nama setiap syarikat yang menyumbang akan dipamerkan di laman sesawang dan banner program yang bersesuaian. Para penaja juga akan dijemput menyertai program yang bersesuaian.
  • MCW akan membantu melaksanakan program pendidikan antirasuah yang bersesuaian kepada penaja.
  • Penaja akan dihadiahkan Sijil Penghargaan tajaan dan plak.
  • Logo dan iklan penaja akan dimasukkan dalam bahan penerbitan MCW yang bersesuaian.
  • Setiap nama penyumbang akan dipamerkan di laman sesawang www.corruptionwatch.my. Nama-nama penyumbang juga akan dikemas kini pada setiap 5hb.

25. BAGAIMANAKAH CARA MASYARAKAT UMUM BOLEH MENYUMBANG KEWANGAN KEPADA MCW?

Sumbangan daripada individu atau masyarakat umum boleh disalurkan menerusi akaun BANK RASMI MALAYSIA CORRUPTION WATCH, Bank Simpanan Nasional iaitu 1410041000294676.