BAB 30
KENAPA “IKAN BILIS” ADA KALANYA LEBIH BAHAYA DARIPADA “IKAN JERUNG” DAN PERLU DIKAWAL AGAR TIDAK MEREBAK MENJADI BARAH KEPADA NEGARA?
Perlu diingatkan bahawa apabila sekawanan “ikan bilis”, jika dibiarkan berleluasa dan merebak dalam kalangan pegawai dan anggota penguat kuasa di agensi penguatkuasaan undang- undang seperti Polis, Kastam, Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang bertugas di sempadan darat dan laut negara ini, boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara di samping merugikan hasil pendapatan negara. Kita jangan melihat mereka ini adalah “ikan-ikan bilis” tetapi golongan ini walaupun berpangkat rendah, mereka diberikan kuasa untuk menahan kenderaan, menggeledah dan menangkap sesiapa sahaja yang melakukan jenayah atau penyeludupan merentas sempadan negara.
Hal ini kerana anggota-anggota agensi penguat kuasa undang- undang adalah pihak yang menegakkan keadilan dan melindungi setiap orang awam dan membanteras aktiviti-aktiviti haram yang melanggar undang-undang dan merugikan hasil pendapatan negara. Kes penyeludupan dadah, senjata api, pemerdagangan manusia, penyeludupan minyak masak dan gula bersubsidi, menyeludup petrol dan makanan bersubsidi bukan sahaja merugikan negara kerana berlaku ketirisan hasil bahkan boleh menyebabkan rakyat merasai kesan buruknya seperti jenayah bersenjata, penagihan dadah, pelacuran, perjudian dalam talian dan kebanjiran pekerja asing tanpa permit sah. Mereka yang bersekongkol dengan sindiket penyeludupan atau aktiviti haram tersebut semata-mata kerana habuan suapan rasuah boleh dikategorikan sebagai pengkhianat kepada agama dan negara.
Bayangkan apa yang akan berlaku jika anggota penguat kuasa di sempadan negara ini dengan Thailand, melepaskan pengedar dadah, pemerdagangan manusia dan penyeludup barang-barang larangan khususnya senjata api tanpa diperiksa atau permit sah seperti melalui lori membawa sayur, buah-buahan, makan kering dan pelbagai lagi dari negara jiran masuk ke negara ini hanya kerana menerima suapan beberapa puluh ringgit bagi sebuah kenderaan yang dilepaskan tanpa diperiksa.
Apa akan terjadi jika dalam kenderaan itu ada tersimpan dadah dan senjata api. Bayangkan jika barang terlarang seperti senjata api itu sampai ke tangan penjenayah di bandar-bandar besar di negara ini. Sekiranya berlaku kes rompakan, pembunuhan dan peras ugut, sudah tentu menjadi ancaman kepada nyawa dan harta benda orang awam dan sekaligus mengancam keselamatan negara secara keseluruhannya. Di samping itu, ianya memberi kesan buruk kepada pendapatan negara jika pelabur asing dan pelancong takut datang ke negara ini kerana jenayah berlaku secara berleluasa.
Begitu juga jika dadah diseludup masuk ke negara ini, yang kita rata-rata mengetahui kebanyakan bekalan dadah yang masuk ke negara ini datang dari negara jiran. Kesannya amat besar apabila ada sindiket penyeludupan dan pengedar dadah sesenang itu bermaharajalela menjual dadah kepada para belia dan pelajar sekolah di merata-rata tempat di bandar-bandar, kampung- kampung dan penempatan peneroka FELDA yang mana, pada akhirnya mereka ini menjadi mangsa terjebak dengan penagihan dadah yang sudah tentu merosakkan generasi muda dan mengancam keselamatan negara.
Oleh sebab itulah tidak menghairankan apabila pusat-pusat pemulihan dadah di negara ini dikatakan tidak pernah ada satu pun yang ditutup kerana ketiadaan penagih dadah. Sebaliknya selalu dipenuhi dengan golongan belia yang terlibat dengan najis dadah.
Inilah akibat jenayah rasuah yang ramai rakyat tidak nampak dan tidak sedar kesan buruknya. Sebaliknya semudah itu menuding jari atau mengutuk SPRM menangkap perasuah ikan bilis ini. Hal ini mungkin kerana pada masa itu, kesan buruk najis dadah tidak dirasai atau belum ada dalam kalangan ahli keluarga mereka sendiri terlibat dengan najis dadah.
Sedarkah kita bahawa pegawai awam yang dikategorikan “ikan bilis oleh masyarakat bahawa, urusan tender terbuka atau sebutharga dari segi saiz nilai kontrak, bentuk projek dan jumlah projek diluluskan di peringkat kementerian atau agensi kerajaan tertentu. Pegawai awam yang dikatakan “ikan bilis” inilah yang sebenarnya menjadi “ikan jerung”. Mereka boleh mengatasi peranan ahli politik atau ahli korporat syarikat milik kerajaan atau swasta dalam melakukan perbuatan jenayah rasuah.
Masyarakat tidak sedar bahawa bukan sahaja ketirisan hasil kerajaan dan ketirisan perbelanjaan kerajaan sahaja tetapi perbuatan pegawai awam ini boleh memberikan kesan buruk kepada ekonomi dan keselamatan negara. SPRM tidak pernah memilih siapa pelaku jenayah rasuah itu tanpa mengira pangkat atau kedudukannya. Semuanya akan dilayan sama rata oleh SPRM kerana suapan rasuah tetap suatu jenayah yang salah di sisi undang-undang dan agama.