PM Gesa Penjawat Awam Lapor Salah Laku Pelanggaran Undang-Undang Kerajaan Perpaduan

PM Gesa Penjawat Awam Lapor Salah Laku Pelanggaran Undang-Undang Kerajaan Perpaduan
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Penjawat Awam melaporkan salah laku Kerajaan Perpaduan jika berlaku pelanggaran undang-undang.
Katanya, peri penting kebertanggungjawaban dari penjawat awam untuk berani menyatakan yang hak dalam usaha dan upaya kita memungkinkan perubahan. Prinsip menegakkan prinsip Wahdatul Fikri agar gerak kerja tersusun dan sistematik terutamanya bagi meningkatkan tahap dan prestasi perkhidmatan.
“Saya menukilkan peri penting kebertanggungjawaban dari penjawat awam untuk berani menyatakan yang hak dalam usaha dan upaya kita memungkinkan perubahan. Ketelanjuran di masa lalu tidak harus berulang kerana ia ternyata menghimpit lonjakan baharu yang mahu diterjemahkan.
“Saya turut menggesa penjawat awam terutamanya untuk menegakkan prinsip Wahdatul Fikri agar gerak kerja kita tersusun dan sistematik terutamanya bagi meningkatkan tahap dan prestasi perkhidmatan.
“Teguran mesti diutarakan sekiranya terdapat salahlaku dan ini mesti menjadi budaya baharu mulai saat ini.” kata Perdana Menteri ketika bersama Warga Jabatan Perdana Menteri dan penjawat awam dalam sesi Himpunan Bulanan bagi bulan Januari 2023, pagi tadi.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Sementara itu memetik Bernama, Anwar berkata jawatan Setiausaha Sulit Kanan dan Ketua Setiausaha Sulit di Pejabat Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan menteri perlu diisi oleh mereka daripada kalangan pegawai tadbir diplomatik.
“Ini supaya penyelarasan itu baik. Langkah-langkah ini diambil dan saya tekankan ia hanya akan berhasil kalau ada kerjasama penuh daripada rakan-rakan,” katanya yang terhutang budi dengan penjawat awam kerana semangat dan sambutan mereka terhadap teguran yang diberikannya diterima dengan baik.
Beliau menegaskan negara tidak akan maju sekiranya berlaku kebocoran dan ketirisan yang melampau dalam pentadbiran.
“Macam saya sebut kontrak yang kadang-kadang komisen terlalu tinggi, harga tidak berpatutan, bukan saya menuju kepada sesiapa. Hakikatnya, anda tidak boleh berjaya sebagai sebuah negara kalau kebocoran dan ketirisan itu begitu banyak,” katanya.
Anwar berkata program pemukiman Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan yang diadakan di Kompleks Seri Perdana semalam turut dihadiri beberapa ketua jabatan supaya wujud keserasian antara kepimpinan eksekutif negara dan penjawat awam.
Beliau berkata program pemukiman berkenaan akan diadakan lagi antaranya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Peguam Negara.