Ahli politik jangan pentingkan kroni, diri sendiri

Jais Karim

Ahli politik jangan pentingkan kroni, diri sendiri
SYAHIDATUL AKMAL DUNYA | | 17 Ogos 2021

Jais Karim

SHAH ALAM – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) meminta ahli politik di negara ini agar mengubah corak berpolitik yang selama ini lebih mementingkan ‘kroni’ dan diri sendiri.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, kepimpinan negara yang baharu perlu mempunyai keazaman politik yang jelas untuk membuat perubahan penting sekali gus memperkasakan usaha mengintegritikan politik negara dan memberi fokus kepada agenda antirasuah.

Beliau berkata, keazaman politik itulah yang mampu melegakan rakyat dan menyelamatkan Malaysia daripada serangan penyakit empat serangkai iaitu pandemik Covid-19, ketidaktentuan ekonomi, kemelut politik dan wabak rasuah.

“Ahli politik yang terlibat dengan perbicaraan kes di mahkamah perlu menyelesaikan kesnya terlebih dahulu sebelum memikirkan usaha menerajui negara.

“Sudah tentu kehadiran mereka amat dialu-alukan selepas mahkamah membebas dan melepaskannya daripada segala tuduhan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Jais berkata, semua agensi penguatkuasaan dalam negara juga mesti berwaspada dengan segala anasir tidak sihat yang pasti mengambil kesempatan ketika ini.

“Tindakan tegas mesti diambil segera agar keselamatan dan keamanan negara terjamin.

“Semua kakitangan kerajaan hendaklah terus menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan penuh cekap dan amanah bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas demi menjaga kualiti sistem pentadbiran negara sedia ada,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut meminta rakyat kekal tenang dan jangan terlalu beremosi sehingga salah membuat tafsiran mengikut kaca mata sendiri tanpa merujuk kepada fakta sahih.

Jelasnya, MCW mendapati wujudnya ‘kebanjiran pakar politik tidak bertauliah’ di media sosial yang boleh menyebabkan hilangnya kepercayaan terhadap pemimpin negara.

“Kebebasan memberi pandangan amat dialu-alukan, namun mesti mempunyai batas dan menjaga sensitiviti tertentu agar tidak melanggar undang-undang,” katanya.

Sehubungan itu katanya, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu memantau segala berita yang disiarkan agar kebenaran dapat ditegakkan.

Dalam pada itu, beliau berkata, MCW mahu rakyat berani memilih calon berdasarkan karisma kepemimpinan, rekod perkhidmatan dan latar belakang peribadi yang bersih dan bukan kerana parti semata-mata.

Jais berkata, ini kerana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang adalah medan penting untuk memilih wakil rakyat sebenar.

“Individu tersebut mestilah berintegriti tinggi, berani mempamerkan kuasa kepimpinan yang telus dan sanggup berkorban untuk rakyat serta negara.

“MCW akan terus komited dan ‘vocal’ dalam memberikan pelbagai pandangan yang perlu dan melaksanakan pelbagai program kesedaran antirasuah,” jelasnya
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/156125/KHAS/Sinar-Rasuah-Buster/Ahli-politik-jangan-pentingkan-kroni-diri-sendiri
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*