Undang-undang Perolehan Kita Sudah Lapuk-Oleh:Datuk Salleh Buang

Undang-undang Perolehan Kita Sudah Lapuk.
(Oleh:Datuk Salleh Buang)
Dua minggu lalu iaitu 24 Ogos, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan Dewan Rakyat, di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), 101 projek kerajaan bernilai RM6.1 billion telah diluluskan secara rundingan terus, bukan menerusi tender terbuka.
Beliau mendedahkan perkara ini sewaktu menggulung ucapannya mengenai Rang Undang-Undang Covid-19 2020, yang pada masa itu masih dibahaskan dan belum diluluskan. Ucapan beliau segera dibantah oleh pendahulunya, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang memintanya mendedahkan juga semua kontrak kerajaan yang dibuat berasaskan rundingan terus sewaktu pentadbiran Barisan Nasional dahulu.
Berikutnya pada 26 Ogos, Tengku Zafrul menyatakan, kontrak kerajaan yang dibuat berasaskan rundingan terus adalah sah sekiranya ia mendapat persetujuan Kementerian Kewangan, selaras dengan kehendak Seksyen 6(1) Akta Prosedur Kewangan 1957 (Disemak 1972) dan Pekeliling Perbendaharan. Beliau menjelaskan, rundingan terus dibenarkan sekiranya syarat-syarat yang ditetapkan di bawah Akta 1957 itu dipatuhi, termasuklah di mana perolehan bekalan dan perkhidmatan dikehendaki segera yang mana jika tidak dilakukan boleh menjejaskan kepentingan negara.
Mengikut Garis Panduan Permohonan Perolehan Secara Rundingan Terus (PK 7.12/2013), perolehan menerusi rundingan terus dibenarkan dalam situasi berikut sahaja – perolehan yang mendesak atau perlu disegerakan, bagi maksud penyeragaman punca bekalan atau perkhidmatan (pembuat atau pemegang francais), melibatkan alat keselamatan atau projek tertentu yang strategik serta perlu dirahsiakan dan kontrak dengan syarikat pembuat bumiputera
.
Pada hari sama (26 Ogos), Kementerian Kewangan mendedahkan senarai penuh 101 kontrak kerajaan yang diberi secara rundingan terus itu. Setelah meniliti senarai tersebut, saya dapati nilai terbesar kontrak secara rundingan terus dibuat oleh Kementerian Pengangkutan (empat kontrak bernilai RM4,477.76 juta atau RM4.4 billion), diikuti Kementerian Pertahanan (enam kontrak bernilai RM900.86 juta), Kementerian Dalam Negeri (lapan kontrak bernilai RM517.68 juta) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (12 kontrak bernilai RM380.12 juta).
Sebuah akhbar melaporkan pada 27 Ogos 2018, Guan Eng dalam sidang medianya di bangunan Parlimen berkata, hanya 70 daripada 101 projek rundingan terus diluluskan sepanjang 22 bulan pentadbiran PH membabitkan nilai perolehan RM352 juta atau 0.07 peratus daripada keseluruhan nilai projek rundingan terus. Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, selepas semakan dibuat, pihaknya mendapati baki 31 projek lagi membabitkan nilai perolehan RM6.26 bilion adalah diwarisi daripada pentadbiran terdahulu.
Pada 2 September lalu, Azam memberitahu wartawan, sehingga tarikh itu, SPRM belum lagi membuka kertas siasatan berhubung 101 projek rundingan terus tersebut. Pada masa ini, SPRM masih membuat analisis terhadap kesemua projek berkenaan untuk menentukan sama ada wujud elemen rasuah atau sebaliknya.
LEMAH
Kajian ke atas beberapa kontrak kerajaan pada masa lalu menunjukkan antara kelemahan dalam sistem perolehan kita pada masa ini adalah – lemah perancangan, salah guna kuasa kaedah perolehan (tiada tender terbuka, amalan memecah kontrak), tiada pengurusan kontrak, kelemahan menilai prestasi kontraktor, tiada tindakan apabila berlaku pelanggaran, tiada mekanisme kawalan luaran dan tiada ketelusan. Sebagai contoh, apabila berlaku kelemahan pengurusan projek, kerajaan membuat bayaran terlebih (over-payment) dalam projek multi-product pipeline (MPP) dan trans-Sabah gas pipeline (TSGP) kepada kontraktor, Suria Strategic Energy Resources Sdn. Bhd. (SSER), iaitu anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan.
Salah satu projek yang diberi secara rundingan terus adalah Projek Bersepadu Sistem Solar serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion, diberi oleh Kementerian Pendidikan kepada Jepak Holdings. Kontrak ini kini menjadi fokus satu prosiding jenayah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Hasil siasatan ke atas projek land swap Kementerian Pertahanan sedikit masa lalu menunjukkan ada elemen kelemahan dan kecuaian tadbir urus selain penglibatan individu tertentu.
Menurut Laporan Akhir Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan, kelemahan dan kecuaian itu menyebabkan tujuan asal projek (meningkatkan kesiapsiagaan ketenteraan) tidak tercapai sepenuhnya. Kita akui, tindakan membanteras rasuah dalam sistem perolehan negara telah dilaksanakan pada masa lampau, termasuklah mewujudkan integrity pact, fasal-fasal rasuah (corruption clauses), e-perolehan dan pelancaran Pelan Anti-Rasuh Negara (NACP 2019-2023).
MODEL
Sementara kita mengalu-alukan usaha awal tersebut, perlu ditekankan selama ini sistem perolehan negara kita masih bergantung kepada beberapa undang-undang yang dikira sudah lapuk (Akta Prosedur Kewangan 1957, Akta Kontrak Kerajaan 1947, Akta Perwakilan Kuasa 1956), selain beberapa instrumen pentadbiran (Arahan Perbendaharaan, Pekeliling Perbandaharaan, Pekeliling Kontrak Pusat Persekutuan, dan Garis Panduan). Negara kita masih belum mempunyai satu akta perolehan moden seperti yang telah lama dikuatkuasakan di beberapa negara.
Dua tahun lalu, saya ditanya oleh seorang pegawai tinggi sebuah kementerian, undang-undang perolehan negara manakah yang boleh kita jadikan model untuk menggubal akta perolehan kerajaan kita pada masa depan? Saya katakan ada banyak pilihan, termasuklah Public Procurement Act 2001 Croatia dan Public Procurement Act Denmark 2015.
Bagaimanapun, kita perlu buat penambahbaikan dan pengubahsuaian dengan hal keadaan sebenar di negara ini.
Nota: Datuk Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*