MCW guna ‘Ninja’ perangi rasuah

 

KUALA LUMPUR — Ninja (imej) dipilih sebagai ikon perjuangan Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) kerana simbolik dan ciri-ciri yang sejajar dengan jiwa serta semangat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut dalam memerangi rasuah di negara ini.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, falsafah terkini dengan ikon Ninja adalah memerangi rasuah dengan penuh keberanian.

“Ninja juga dipilih sebagai ikon falsafah MCW kerana Disiplin, Dedikasi dan Komitmen; Kreativiti; Kebolehpercayaan (Realibility), Halimunan (Stealth) dan Ketangkasan; Kebolehsuaian (Adaptability), Ketepatan, dan Kemahiran; serta Semangat Perjuangan dan Keberanian. Semua perkara asas ini sesuai dengan falsafah asal dan objektif perjuangan MCW.

“Disiplin, Dedikasi dan Komitmen adalah landasan utama bagi menggambarkan komitmen teguh mereka terhadap latihan dan perkembangan kemahiran yang berterusan. Berpegang dengan nilai-nilai ini, individu dalam MCW bersedia dengan baik untuk mempertahankan fokus dan konsistensi, membina tekad yang kuat dan teguh untuk terus berusaha menghadapi cabaran yang dihadapi,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jais berkata, kreativiti ninja termasuk penggunaan alatan terkini dan teknologi inovatif mencerminkan kebijaksanaan mereka.

Katanya lagi, ahli MCW, perlu mendalami dan memahami kemahiran teknolgi terkini bagi mengatasi pelbagai kemahiran perasuah yang bijak menyembunyikan bukti kesalahan secara terbuka.

“Kebolehpercayaan dan Kepakaran Halimunan serta Ketangkasan adalah sifat lain yang dimiliki oleh ninja. Mereka sangat boleh dipercayai dan bertindak pada tahap kepantasan yang tidak boleh ditandingi.

“Kemahiran penyamaran ninja membolehkan mereka dapat menyesuaikan diri dalam persekitaran yang sentiasa berubah-ubah. inja menjadi representasi yang ideal bagi sifat dinamik perjuangan MCW,” katanya.

Tambahnya, mereka (Ninja)mampu beroperasi secara rahsia dalam menghurai kebenaran yang tersembunyi dan mendedahkan amalan rasuah.

Sifat ini jelasnya, perlu diadaptasi sejajar dengan perjuangan MCW yang memerlukan tindakan cepat dan respons pantas terhadap cabaran jenayah rasuah masa kini.

“Selain itu, ninja juga pakar dalam melakukan perisikan dan tidak mempunyai sifat ragu-ragu dalam menjalankan tugas serta bijak menyembunyikan emosi pada riak wajah mereka. Ini yang kita mahu serapkan dalam diri setiap ahli MCW supaya dapat menjalankan tugasan dan peranan tanpa mengutamakan emosi serta kepentingan peribadi. Dalam apa juga keadaan, RASUAH MESTI DILAWAN DENGAN BERANI!

“Dalam usaha mencegah rasuah amat penting kita menilai dan menambahbaik strategi atau taktik secara berterusan bagi memastikan kita dapat berdiri teguh dalam menghadapi cabaran dunia global yang sentiasa berubah-ubah.

“MCW bersedia meneliti semula pelan strategik antirasuah MCW bagi memastikan selaras dengan kehendak kerajaan Malaysia Madani yang mahukan tadbir urus pentadbiran negara ini bebas daipada gejala rasuah,” tegasnya.

–BebasNews

MCW guna ‘Ninja’ perangi rasuah