MCW minta kes Aman Palestin dibicarakan secara adil

SHAH ALAM – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) meminta agar kes penyalahgunaan dana Aman Palestin dibicarakan secara adil dan dihukum dengan berat sekiranya didapati bersalah.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, keadilan perlu ditegakkan tanpa mengira pangkat dan kedudukan sosial.

Menurut beliau, keraguan terhadap kes tersebut telah menjadi isu yang berlarutan dan penggunaan slogan agama bagi melindungi diri mungkin menyebabkan kebanyakan penderma memilih untuk tidak mempertikaikan pengurusan dana.

“Pendakwaan ini penting untuk mengetepikan isu tersebut dengan segera.

“Tuduhan pecah amanah, penipuan dan penggubahan wang haram pasti merosakkan integriti serta kepercayaan dalam pengurusan organisasi amal,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Beliau mengulas pendakwaan dibuat terhadap Pengerusi Eksekutif Aman Palestin, Abdullah Zaik Abd Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Awang Suffian Awang Puit dan pengarah syarikat pelaburan iaitu Khairudin Mohd Ali yang berdepan 164 pertuduhan membabitkan kesalahan pecah amanah, penipuan serta penggubahan wang haram berjumlah RM39.53 juta antara 2018 hingga 2023.

Mengikut pertuduhan, Abdullah Zaik dan Awang Suffian didakwa dengan 52 pertuduhan pecah amanah dana Aman Palestin berjumlah RM21,146,498.80 antara 12 Mac 2018 hingga 3 November 2023.

Kedua-dua individu terbabit didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Jais memaklumkan, Aman Palestin perlu mempercayai proses undang-undang yang sedang berjalan dan redha demi memastikan organisasi terbabit dibersihkan sepenuhnya daripada sebarang pertuduhan.

“Dengan menjadi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang bersih, lebih ramai penyumbang akan bersedia untuk memberikan sumbangan pada masa hadapan.

“MCW akan terus mengikuti perkembangan kes ini dan memberikan sokongan penuh kepada pihak berkuasa dalam memastikan keadilan serta ketelusan penguatkuasaan undang-undang.

“Selain itu, kami meminta masyarakat agar terus memainkan peranan aktif dalam memantau kegiatan organisasi amal dan menyokong segala langkah pencegahan rasuah yang berkesan,” ujar beliau.