SAMBUTAN HARI ANTIRASUAH ANTARABANGSA (HARA) 2023

SAMBUTAN HARI ANTIRASUAH ANTARABANGSA (HARA) 2023

Sebagai NGO Antirasuah, MCW menekankan peranan semua pihak dalam meneguhkan nilai integriti dari dalam diri sebagai prinsip hidup yang penting bagi melahirkan masyarakat beretika, berintegriti, bermaruah dan bebas rasuah.

Sempena Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2023 yang disambut pada 9 Disember pada setiap tahun, MCW mengajak semua pihak bersatu padu bagi menyahut cabaran ‘Uniting The World Against Corruption’ demi memartabatkan imej Malaysia sebagai sebuah negara maju yang berintegriti tinggi.

Kebiasaannya pada setiap tahun MCW menyambut HARA dengan cara tersendiri bagi menjiwai dan mempelajari perjuangan antirasuah pada peringkat antarabangsa. Ahli-ahli MCW dibawa melawat dan mengkaji inisiatif, cara atau kaedah rakyat negara luar melawan rasuah.

Namun, pada tahun ini lawatan HARA 2023 terpaksa dibatalkan kerana negara sedang berhadapan dengan kegawatan ekonomi dan kejatuhan nilai ringgit yang mempengaruhi kehidupan setiap rakyat Malaysia.

Pembiayaan pengurusan MCW juga turut terkesan akibat kemelesetan ini. Sumbangan daripada ahli berkurangan hampir mencecah 50% perlu digunakan secara cermat dan berhemah.

Namun, kita tidak boleh patah semangat dan pada hari ini, 9 Disember 2023, MCW dengan kerjasama Institut Integriti Malaysia (IIM) mengadakan Pelancaran Pertandingan Video Lagu Integriti 2023 dalam usaha memperkasa dan meningkatkan penerapan budaya integriti dengan lebih berkesan dalam kalangan belia yang merupakan akar umbi masyarakat Malaysia serta generasi yang bakal menerajui negara pada masa hadapan.

Bersempena majlis pelancaran ini, MCW juga mengambil kesempatan menyambut Hari Antirasuah Antarabangsa 2023 bagi menghargai jasa para pejuang negara dan dunia yang bertungkus lumus berkorban jiwa raga melawan rasuah tanpa mengenal erti penat demi kesejahteraan negara.

Saya menyeru seluruh warga MCW dan pencinta gerakan antirasuah untuk terus bangkit melawan rasuah dengan berani.

Ayuh, sama-sama kita melaungkan kata-kata keramat ini dengan lantang dan bersemangat!

KAMI ANTIRASUAH

KAMI BENCI RASUAH

RASUAH MUSUH NEGARA!

Sila klik link ini untuk mendapatkan info lanjut tentang pertandingan video integriti yang akan dilancarkan petang nanti….

https://drive.google.com/file/d/1pnZpl5JeKW7YCLZL5XxfEspOYqLiWuDN/view?usp=drivesdk