Periksa kewangan anggota polis – MCW

Periksa kewangan anggota polis – MCW

Sinar Harian
SHAH ALAM: Pemeriksaan kewangan terhadap anggota polis yang mempamerkan gaya hidup mewah perlu dilaksanakan secara teliti dan segera dalam membendung rasuah dalam pasukan itu.
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kerjasama erat antara pasukan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) amat penting bagi mengatasi masalah berkenaan dengan lebih berkesan.
“MCW menyokong penuh dan menyanjung tinggi semangat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (CID), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang tampil ke hadapan menzahirkan komitmen dengan serius untuk membanteras rasuah dalam pasukan polis menerusi ucapan beliau yang tular baru-baru ini.
“Kenyataan tegas beliau (Mohd Shuhaily) adalah langkah proaktif yang amat dihargai. Ini merupakan rahsia umum yang telah diketahui majoriti rakyat Malaysia.
“Beliau dengan jelas menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan-tindakan yang merosakkan imej dan integriti pasukan polis serta melemahkan keyakinan masyarakat terhadap sistem keadilan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Berdasarkan laporan Sinar Harian pada Sabtu, anggota mahu pun pegawai polis diberi amaran keras sekiranya masih terlibat dan bersekongkol dengan sindiket jenayah.
Menurut Mohd Shuhaily, ada yang sanggup menjual nyawa rakan semata-mata untuk mendapatkan duit imbuhan daripada sindiket berkenaan.
Tambah Jais, kenyataan tegas dan proaktif tersebut merupakan pemangkin untuk membawa perubahan positif dalam pasukan polis dan berharap ia menjadi titik permulaan serta galakan agar lebih banyak usaha memerangi rasuah dalam semua lapisan masyarakat.
“MCW juga bersedia bekerjasama dengan beliau, polis dan masyarakat bagi meningkatkan kesedaran mengenai bahaya rasuah dan kepentingan pemupukan budaya integriti dalam organisasi yang menjaga keamanan negara.
“Rakyat dan pihak berkuasa perlu berganding bahu dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dan benar-benar bebas rasuah,” ujarnya. – Sinar Harian