RESPONS MEDIA MCW- Isu penggunaan kenderaan (helikopter) kerajaan oleh YAB PM dalam kempen PRN 2023

RESPONS MEDIA MCW

Isu penggunaan kenderaan (helikopter) kerajaan oleh YAB PM dalam kempen PRN 2023

5 Ogos 2023

1. Berhubung isu penggunaan kenderaan kerajaan oleh pemimpin no. satu Malaysia dalam musim berkempen PRN ke-15 ini wajar dielakkan. Kita sedar bahawa beliau mempunyai keistimewaan menggunakan kemudahan tersebut atas kapasiti sebagai Perdana Menteri untuk ‘turun padang’ bertemu rakyat dengan pantas dan selamat.

2. Namun, dalam konteks Kepimpinan Melalui Teladan sewajarnya beliau menjadi contoh terbaik kepada anggota kabinet yang lain agar lebih menggunakan kenderaan kerajaan untuk tujuan politik dan kepentingan parti yang bertanding dalam pilihan raya negeri yang sedang berlangsung ini.

3. MCW mendambakan ketegasan YAB PM untuk membuktikan amalan tatakelola dan integriti yang tinggi di bawah kepimpinan beliau dalam kerajaan madani. Inilah masa yang sesuai untuk beliau kotakan janji seorang Perdana Menteri ulung yang sering melaungkan amalan bersih rasuah dan tidak ada salah guna kuasa sebagai anggota kabinet.

4. MCW menekankan pelaksanaan budaya politik yang bersih, dipenuhi dengan nilai-nilai integriti, ketelusan, amanah dan kebertanggungjawaban yang tinggi.

5. Secara hakikatnya, penggunaan kenderaan kerajaan untuk tujuan politik pasti akan mengganggu proses demokratik dan menghilangkan kepercayaan rakyat. Tindakan tersebut boleh menimbulkan isu penyalahgunaan kuasa dan boleh merosakkan integriti pentadbiran kerajaan.

6. MCW menggesa agensi penguatkuasaan yang berkaitan menyiasat hal ini dan mengeluarkan garis panduan supaya anggota kabinet mematuhi pekeliling penggunaan perkhidmatan atau aset kerajaan.

7. Pemimpin politik wajar mematuhi janji mereka untuk tidak menggunakan kenderaan kerajaan semasa berkempen kerana ini termaktub dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954.

8. MCW menekankan kesedaran etika dan amalan integriti dalam kalangan anggota kabinet sebagai pendidikan berterusan bermula dari akar umbi kepimpinan muda parti politik. Perkara ini amat penting untuk membentuk budaya politik yang adil, jujur, beretika dan amanah kepada negara. MCW juga yakin bahawa integriti dan etika kepemimpinan negara adalah asas penting untuk memenangi kepercayaan rakyat dan mencipta pentadbiran kerajaan yang berkualiti.

Justeru, isu ini perlu ditangani dengan tegas dan saksama. Agensi penguatkuasaan berkaitan perlu bertindak dengan langkah-langkah yang berkesan demi menegakkan prinsip-prinsip tadbir urus yang baik dalam kerajaan sebelum negara luar juga turut memandang serong diatas imej dan kredibiliti pemimpin nombor satu Malaysia.

Haji Jais Abdul Karim
Presiden
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)