Menteri gagal isytihar harta perlu letak jawatan
SAUDARA PENGARANG,
PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) mengalu-alukan keputusan kerajaan meneruskan semula inisiatif pengisytiharan harta ke atas anggota Kabinet. Ini merupakan langkah positif bagi membuktikan ketelusan pemimpin negara kepada rakyat.
Dalam pada itu, MCW menggesa kerajaan memperkukuhkan sistem pengisytiharan harta tersebut dengan memastikan penambahbaikan yang lebih terperinci. Melalui perkukuhan sistem ini, kerajaan dapat membina kepercayaan awam dan memastikan pelaksanaan tadbir urus yang baik di semua peringkat pentadbiran.
MCW berpendapat bagi memastikan keberkesanan sistem ini, individu yang terbukti menipu dengan mendapat harta secara haram seharusnya bersara atau meletakkan jawatan.
Tindakan serius perlu diambil ke atas mereka yang tidak dapat membuat penjelasan telus terhadap aset berlebihan dan gaya hidup terlampau mewah.
Pengisytiharan harta harus dikemaskini secara tahunan oleh menteri dan pegawai-pegawai Kabinet. Selain itu, aset yang dinyatakan perlu diaudit melibatkan pihak bebas. Penambahbaikan ini perlu dilakukan bagi memastikan keberkesanan dan integriti proses tersebut bernilai tinggi.
Kami juga mencadangkan agar menubuhkan sebuah unit pengisytiharan harta yang bebas dan tidak terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pihak polis.
Unit ini harus mempunyai kuasa dan sumber mencukupi untuk menjalankan penyiasatan menyeluruh terhadap aset yang diisytiharkan oleh anggota Kabinet.
MCW amat berharap agar kerajaan mengambil pendirian tegas terhadap isu ini dan bertindak segera untuk memperbaiki serta melaksanakannya demi mengekang rasuah dan menjaga integriti. Kita mesti mencipta perubahan untuk memulihkan imej negara yang kian terjejas akibat rasuah.
MCW sekali lagi ingin menegaskan bahawa pelaksanaan pengisytiharan harta yang telus dan berkualiti amat penting dalam usaha memerangi rasuah dan dapat mengangkat martabat integriti pentadbiran kerajaan perpaduan.-UTUSAN
JAIS ABDUL KARIM
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)