Kerajaan digesa mempercepatkan pelaksanaan Akta Pendanaan Parti Politik Malaysia

Kenyataan Media MCW – 3 Mac 2023

Kerajaan digesa mempercepatkan pelaksanaan Akta Pendanaan Parti Politik Malaysia

Rakyat faham dan tahu bahawa deraf akta Pendanaan Parti Politik di Malaysia telah siap sejak tahun 2016 namun belum ada inisiatif untuk melaksanakannya.

Parti politik terutamanya memerlukan perundangan tersebut dengan segera tambahan pula makin banyak kes melibatkan tuduhan salah guna kuasa dan rasuah dikalangan ahli dan parti politik kebelakangan ini.

MCW yakin bahawa kepercayaan rakyat terhadap kerajaan perpaduan ini akan meningkat jika ianya dilaksanakan segera. Inilah perintis penting kepada konsep Malaysia Madani.

Akta pendanaan parti politik ini penting untuk memastikan parti politik dapat beroperasi secara telus dan jujur dalam pengumpulan dana dan perbelanjaannya.

Kita mesti mencegah pengaruh yang tidak wajar akibat pendanaan yang tidak teratur dan tidak terkawal.

Semua sumber dana yang diterima oleh parti politik mestilah dari sumber yang sah dan tidak merosakkan proses demokrasi.

Integriti dan kepercayaan terhadap sistem politik negara adalah sangat penting.

Akta pendanaan parti politik sangat penting dalam menjaga integriti dan transparansi dalam sistem politik negara demi memastikan proses demokrasi berjalan lancar dan adil serta meminimumkan kemungkinan penyalahgunaan kuasa dalam politik.