RESPOND MEDIA MCW BERKENAAN KENYATAAN KETUA PESURUHJAYA SPRM BAHAWA KEADAAN RASUAH DI PULAU PINANG MEMBIMBANGKAN

RESPOND MEDIA MCW BERKENAAN KENYATAAN KETUA PESURUHJAYA SPRM BAHAWA KEADAAN RASUAH DI PULAU PINANG MEMBIMBANGKAN
30 September 2022

1. MCW berpendapat bahawa kenyataan KP SPRM pasti mempunyai asas dan berfakta. Pelbagai kes yang telah dilaporkan pastinya sedang disiasat dengan teliti dan ada yang telah dan akan dibawa ke mahkamah dalam masa yang terdekat ini.

2. Kerajaan Negeri Pulau Pinang diharapkan agar tidak terlalu ‘defensif’ dan sewajarnya menerima kenyataan ini secara positif dan mengatur pelbagai langkah bagi memastikan agar masalah rasuah dapat dicegah dengan segera dari terus merebak di negeri ini.

3. Masalah rasuah adalah masalah sejagat terutamanya di negeri yang maju kerana peruntukan atau jumlah perbelanjaan yang besar pasti akan membukan ruang dan peluang untuk berlakunya rasuah. Ekonomi yang berkembang pesat di Pulau Pinang adalah antara faktor penting yang mendorong rasuah semakin membimbangkan di Pulau Pinang.

4. MCW berharap pihak SPRM meneruskan usaha yang agresif untuk membanteras rasuah di semua negeri demi memastikan masalah ini dikawal terutamanya dalam sektor awam. Segelintir penjawat awam kelihatan semakin berani melakukan rasuah akibat ketidakstabilan politik dewasa ini.

5. Hakikat bahawa rasuah di Malaysia termasuk di Pulau Pinang adalah seperti kanser yang sedang merebak adalah rahsia umum yang telah diketahui oleh segenap lapisan rakyat. Pelbagai kaedah pencegahan kelihatan kurang berkesan kerana ‘ketamakan telah mengatasi prinsip kehidupan yang berintegriti.’