SRC: Bukti integriti badan kehakiman masih unggul

SRC: Bukti integriti badan kehakiman masih unggul

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika hadir bagi mendengar rayuan terhadap sabitan dan hukuman atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan terhadap kes Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan integriti badan kehakiman negara masih unggul.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, keputusan itu juga sekaligus telah menolak tegas keraguan dalam kalangan rakyat terhadap kredibiliti mahkamah yang mengendalikan kes berprofil tinggi.

“Saya menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan yang  mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri itu yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.”

“Kita yakin keputusan ini tidak terkhilaf, tepat berdasarkan fakta yang diteliti secara profesional dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak atau terkena panahan unsur-unsur politik tertentu yang boleh mencemarkan martabat badan Kehakiman malaysia,” katanya

Mengulas lanjut, Jais turut mengucapkan syabas kepada panel lima hakim yang dipengerusikan oleh Hakim  Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Jelas beliau, hal itu kerana Tengku Maimun tegas dalam membuat keputusan terhadap Najib yang pernah berjasa kepada negara dan ini bukanlah sesuatu yang mudah.

Sehubungan itu, Jais berkata, MCW turut menggesa agar kes-kes berprofil tinggi lain yang melibatkan kepentingan awam juga diadili dengan sebaiknya.

Tegas beliau, pihak berwajib perlu menyegerakan semua kes salah guna kuasa dan rasuah sama ada di peringkat siasatan atau pendakwaan tanpa mengira latar belakang supaya tidak wujud persepsi tindakan pendakwaan berpilih.

“Kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman dan pihak berwajib adalah bermula kecekapan menjalankan amanah dan pengadilan yang tidak berat sebelah,” katanya.