Lawatan Rintis ke Mesir-Pertemuan dengan Duta Malaysia ke Mesir

KAHERAH.- Lawatan rintis ke Mesir, 2022 memberi kesempatan kepada Presiden MCW bertemu TYT Duta Malaysia ke Mesir, Zamani Ismail yang sangat peramah dan mempunyai adab sopan yang tinggi. Beliau secara peribadi menjemput Presiden meraikan hari raya dan melaksanakan solat sunat Aidil Fitri di kediaman beliau pada hari raya pertama nanti.
Tanpa dirancang Presiden turut bertemu Tuan Saiful Adli bekas Setpol Perdana Menteri ke-8 yang kebetulan berada di sana. Selain itu, Presiden juga berkenalan dengan beberapa individu dalam bidang perniagaan dan pelaburan. Berdasarkan perbualan dan perbincangan, amat jelas ruang dan peluang untuk melakukan salah guna kuasa, rasuah serta jenayah di sini sangat tinggi. Rakyat Malaysia mesti dilindungi dengan kerjasama pihak kedutaan dan kementerian yang terlibat.
Kelemahan integriti dan elemen antirasuah dapat dipelajari berdasarkan pemerhatian dan soal selidik sepanjang berada di sini. Budaya ‘pau’ dalam kalangan masyarakat di Kaherah sudah menjadi lumrah bagi menyara kehidupan mereka.
Apa yang penting mesej antirasuah dan pemerkasaan budaya integriti dalam kalangan rakyat Malaysia yang tinggal di sini sangat penting dibajai supaya tidak mudah terpengaruh atau terpedaya dengan muslihat budaya kebiasaan tersebut.
Taklimat pendidikan antirasuah kepada para pelajar dan penjawat awam di Mesir sangat penting bagi membetulkan persepsi mengenai keadaan rasuah di Malaysia. Institusi Antirasuah di Mesir dikatakan diwujudkan semata-mata sebagai ‘alat’ untuk menangkap ahli politik mereka dengan sabit kesalahan rasuah. Namun, salah laku rasuah dalam kalangan rakyat marhaen langsung tidak diberikan perhatian. Seolah-olah ia dibiarkan hidup subur dan kukuh berakar umbi dari satu generasi ke generasi yang lain walaupun majoriti penduduknya beragama Islam.
Justeru, jelas kelihatan atas faktor desakan dan corak (natural) kehidupan di Mesir menjadikan rasuah dan salah guna kuasa sukar ditangani. Secara dasarnya, gerak kerja bagi melaksanakan kaji selidik dalam sehari dua tidak akan mampu menjawab persoalan dan punca kegagalan membanteras rasuah di Mesir.