KENYATAAN MEDIA MCW BERKENAAN KEPUTUSAN INDEKS PERSEPSI RASUAH (CPI) 2021.

KENYATAAN MEDIA MCW BERKENAAN KEPUTUSAN INDEKS PERSEPSI RASUAH (CPI) 2021.
25 Januari 2022

1. Rakyat Malaysia tidak boleh terus berdiam diri melihat CPI Malaysia terus jatuh saban tahun. Kita tidak boleh mengambil sikap penafian – ‘on denial mode’ akan hakikat bahawa Malaysia masih dalam kedudukan yang tidak memuaskan dalam CPI ini. Rakyat turut bertanggungjawab keatas punca kejatuhan ini kerana kita masih berdiam diri walaupun menyedari kedudukan Malaysia di tangga 62 (48 markah, jatuh 3 markah dan 5 tangga) daripada 180 negara bukanlah satu perkara yang diharus dibanggakan.

2. Kerajaan mesti lakukan penambahbaikan segera bagi meneutralisasikan persepsi pelabur dan masyarakat dunia terutamanya hal berkaitan dana parti politik. Kerajaan disarankan untuk menggubal dasar awam yang inovatif untuk membendung pelaku amalan rasuah sekali gus menghentikan jenayah itu daripada terus berleluasa di Malaysia. Pembaharuan polisi dan undang-undang yang lebih baik perlu diadakan bagi memastikan mereka yang terlibat dengan rasuah tidak akan terus melakukannya.

3. Antara punca kejatuhan ini ialah kerana PENGKHIANATAN segelintir penjawat awam yang terus melakukan rasuah. Laporan Ketua Audit Negara sering mengulang nasihat atau teguran yang sama dengan kesalahan yang juga hampir sama dilakukan oleh penjawat awam kita. Anggota Pentadbiran yang bersih diminta untuk sentiasa tampil kehadapan melaporkan kes melibatkan rakan sejawat mereka. Ketua Jabatan atau unit yang terpalit rasuah mesti diberi hukuman berat. Konsep Kepimpinan Melalui Teladan mesti diterapkan semula.

4. Usaha keras SPRM dalam membongkar dan menyiasat pelbagai kes rasuah perlu diteruskan dan disokong oleh semua lapisan masyarakat. SPRM sendiri sedang ditekan oleh blok parti politik tertentu dan perlu dibebaskan daripada tekanan politik seperti ini serta bertanggungjawab terus kepada Yang Di Pertuan Agong melalui Parlimen. Usaha SPRM mendekati golongan expatriat adalah amat baik dan perlu diperhebatkan bagi memberikan persepsi yang lebih positif terhadap Malaysia.

5. Sistem pencegahan rasuah di Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding negara maju yang lain walaupun Pelan Antirasuah Nasional (NACP) Malaysia adalah antara pelan antirasuah yang terbaik di dunia. Kita terlalu banyak bercakap tanpa membuat TINDAKAN dan PELAKSANAAN yang perlu. Segala sistem dan alatan yang mampu mencegah rasuah yang telah terbukti berkesan di barat dan selari dengan ajaran agama perlu diperkenalkan dan diksanakan segera tanpa alasan.

6. MCW yakin dan percaya bahawa PERSEPSI ini akan dapat dibaiki dan diubah dengan ILTIZAM yang tinggi dan tepat terutamanya dari pihak kerajaan serta kerjasama semua pemegang taruh. Advokasi awam perlu dilipatgandakan oleh semua pemegang taruh khususnya NGOs untuk membanteras budaya rasuah di Malaysia.

7. Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Negara (GIACC) kelihatan amat sunyi dan sepi! Mereka perlu sering keluarkan kenyataan berkenaan segala perkembangan pembaharuan yang sedang dilakukan. Pengumuman ini sering dinanti-nantikan oleh masyarakat dan boleh memuaskan hati pelbagai organisasi antarabangsa yang sedang memantau Malaysia. Pemimpin keagamaan di Malaysia juga mesti memainkan peranan yang lebih aktif dalam memastikan integriti di mantapkan dalam institusi masyarakat. Semua anggota masyarakat dan Ahli MCW terutamanya diminta untuk memberi komitmen yang tinggi bagi memastikan usaha membenteras rasuah di Malaysia mencapai kejayaan yang diinginkan.

8. Akhirnya, MCW juga mahu menyorot kejayaan Negara China yang tidak mengamalkan demokrasi dan juga tidak mempedulikan hak asasi manusia atau CPI ini namun masih lagi mampu menjadi kuasa ekonomi dunia yang terkini. Begitu juga di Singapura yang masih mempunyai undang-undang ISA yang kelihatan zalim keatas hak asasi manusia dan menjadi syurga kepada ‘money laundering’ namun berada dalam kedudukan kelima terbaik dunia dan ramai pelabur besar yang tetap datang berniaga di sana. Transparensi International perlu menjelaskan kelebihan negara ini dan dimana pula kekurangan kita dalam dua perkara tersebut.

Jais Abdul Karim
Presiden MCW