RENCANA KHAS MCW SEMPENA HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-64

RENCANA KHAS MCW SEMPENA HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-64

PENJENAMAAN PUTRAJAYA SEBAGAI BANDAR INTEGRITI

oleh: Haji Jais bin Abdul Karim
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)
31 Ogos 2021

Rakyat Malaysia mahukan negara dikenali atas nilai integriti yang tinggi dan bukannya rasuah. Integriti juga elemen penting menuju sifar rasuah. Hal ini perlu diberikan perhatian yang serius oleh kerajaan baharu di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia ke-9. Pelbagai skandal defisit integriti yang sedia ada mampu merosakkan maruah negara perlu diatasi segera. Penjenamaan Putrajaya sebagai sebuah Bandar Integriti amat penting kerana ia merupakan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan negara yang menjadi kebanggaan rakyat.

Penjenamaan semula ini penting untuk proses merawat defisit integriti tersebut dan memulihkan imej negara di persada dunia. MCW menyarankan agar langkah positif ini dijadikan tumpuan utama kerajaan baharu dalam memastikan keberkesanan bagi mencapai kejayaan memerangi isu integriti di Malaysia.

Selain daripada usaha pemerkasaan SPRM dan pemantapan pencegahan rasuah melalui Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), inisiatif di luar kotak ini penting untuk menggambarkan iltizam utuh kerajaan untuk merawat barah integriti yang menjadi punca masalah dalam tadbir urus pelbagai sektor.

Putrajaya atau nama penuhnya Wilayah Persekutuan Putrajaya ialah Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia yang menggantikan Kuala Lumpur pada 1999. Putrajaya adalah sebuah bandar raya pintar dalam taman terletak 25 kilometer di selatan Kuala Lumpur juga merupakan sebuah bandar raya futuristik dan Wilayah Persekutuan ke-3 di Malaysia. Putrajaya dinamakan sempena nama Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra, dalam Bahasa Sanskrit, “putra” bererti “putera” atau “anak lelaki”, dan “jaya” bererti “kejayaan” atau “kemenangan”.

Putrajaya adalah ibu negara pentadbiran Malaysia yang menempatkan hampir kesemua kakitangan dan penjawat kanan kerajaan yang perlu diberi ‘Kesedaran dan Pendidikan’ yang berterusan berkenaan integriti.

Para penjawat awam memerlukan suntikan nilai integriti yang sangat progresif dan positif. Menerusi penjenamaan semula dan pindaan nama jalan berdasarkan nilai-nilai murni integriti mampu membina akauntabiliti serta semangat antirasuah mereka secara tidak langsung. Tindakan ini berkesan untuk mewujudkan tekanan kepada penyampai perkhidmatan mahupun pengguna (masyarakat), di samping dapat menjadi mekanisme semak dan imbang yang adil.

Ketelusan, kejujuran dan integriti sebuah negara bangsa tidak boleh hanya bergantung harap kepada iltizam ahli politik yang ‘sifatnya bermusim’. Program kesedaran dan Pendidikan secara lahiriah ini pastinya akan memberi impak yang sangat besar.

Integriti membawa maksud Etika, Moral atau Akhlak / adab. Ahli falsafah, Aristotle dalam kitabnya ‘Nicomachean Ethics’ menyatakan bahawa integriti bermaksud nilai yang disusun secara sistematik oleh empat nilai terpenting yang diketengahkan menurut sandaran fakulti aqal, jasad dan hati iaitu: Bijaksana (hikmah), sifat Sederhana dan Berani. Kesemua tiga nilai ini dirangkumkan pada nilai akhir iaitu: Keadilan.

Pada pandangan alam negara, integriti disandarkan pada maksud Pelan Integriti Nasional, (khasnya petikan dalam mukasurat 17-19), yang menuntut setiap diri rakyat mengamalkan nilai-nilai murni sesuai dengan prinsip pertama Rukun Negara, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, dan hidup menurut Keluhuran Perlembagaan serta Kedaulatan Undang-undang.

Berdasarkan kepada pengertian tersebut maka Bandar Integriti Putarajaya bolehlah dijenamakan (Presint sekarang ini) kepada 8 kawasan utama iaitu Presint Nilai Murni, Presint Kebijaksanaan, Presint Keberanian, Presint Kesederhanaan, Presint Kepimpinan, Presint Keadilan, Presint Antirasuah, dan Presint Rukun Negara.

Cadangan pertama; menamakan jalan ‘Presint Nilai Murni’ seperti Etika, Tanggungjawab, Patuh, Rekod Baik, Kawalan Dalaman, Sentiasa Berhati-Hati, Sentiasa Berlatih, Ikut Peraturan, Menasihati, Kepercayaan, Tepati Janji, Amanah, Benar dan Positif. Nama-nama positif ini menjadi pemangkin kepada ‘minda sedar’ agar sentiasa mengamalkan etika baik sebagai norma dalam kehidupan.

Cadangan kedua; menamakan jalan ‘Presint Antirasuah’ seperti Sifar Rasuah, Tiada Toleransi, Hukuman, Pengawalan Tegas, Denda Besar, Penjara Lama, Risiko Rasuah, Potensi Salah Laku, Patuhi Polisi, Syarat Ketat, Prinsip Utama, Punca Rasuah, Penawaran, Pemberian, Permintaan, Pendorong, Ganjaran, Tidak Beretika, Niat Buruk, Pecah Amanah, Suapan, Hadiah Tunai, Baucar Hadiah, Khidmat Percuma, Sumbangan Politik, Promosi Tajaan, Derma Amal, Salah Guna Jawatan, Salah Guna Kedudukan, Keuntungan Peribadi, Penipuan, Pemerasan, Minyak Pelincir, Pemberi Maklumat, Pencegahan, Kesalahan Disiplin, Pemecatan, Kesalahan Jenayah, Didakwa, Siasatan dan Konflik Kepentingan dilihat dapat mewujudkan kesedaran serta tanda amaran dalam diri masing-masing.

MCW amat pasti para cendekiawan di Putrajaya lebih bijak menterjemahkan idea ini agar lebih kreatif berbanding cadangan ringkas dalam rencana ini. Nama-nama jalan yang dicadangkan boleh dipositifkan bagi tujuan keindahan dan melambangkan penghuninya.

Jais Karim

Berdasarkan kata-kata falsafah, “Keadilan tidak hanya perlu dilaksanakan, namun ia perlu dilihat sebagai dilaksanakan” maka idea BANDAR INTEGRITI ini perlu tersurat dengan jelas demi memberi kesan yang mendalam.

Integriti, politik, dan pentadbiran kerajaan sangat berkait rapat dengan persepsi dan pandangan umum. Tindakan punitif tidak akan dapat memberikan kesedaran yang diharapkan kepada masyarakat secara meluas dan berterusan. Pendekatan baharu ini adalah ekosistem lengkap yang tidak terhad kepada tindakan reaktif malah sebagai mekanisme proaktif yang mampu memberi kesan pendidikan yang mencakupi jangka pendek dan panjang.

Sekiranya kita lihat negara jiran, Singapura, yang merupakan negara paling berintegriti di rantau Asia menurut Laporan Antirasuah Asia 2017 oleh ‘Political and Economic Risk Consultancy’, republik tersebut memperkenalkan konsep kejujuran intelektual (intellectual honesty). Ini bermaksud, rakyat memainkan peranan aktif dalam menjaga integriti perkhidmatan awam dan sektor swasta.

Malaysia perlu kehadapan dengan cara tersendiri yang perlu dilakukan menerusi amalan kendiri yang telus dan jujur serta menyuburkan kesediaan menegur mereka yang melakukan kesalahan integriti. Perkara ini hanya dapat dilakukan menerusi pembudayaan integriti yang teguh dari akar umbi.

Perjalanan memahat erti Integriti dan Pencegahan Rasuah MESTI bermula dari sekarang dalam pelbagai kaedah yang menarik. Semua lapisan masyarakat mesti memahami semua sifat positif integriti seperti yang dicadangkan. Hukamak berkata – “Akhlak yang buruk itu ibarat tembikar yang pecah. Tidak dapat dilekatkan lagi dan tidak dapat dikembalikan menjadi tanah”.

Penjawat awam dan semua lapisan masyarakat perlu disedarkan segera tentang kepentingan integriti serta yang lebih mendesak adalah memahamkan diri sendiri serta keluarga terlebih dahulu. Kemudian mengamalkannya sebagai rutin kehidupan harian mengikut kefahaman, ilmu, rezeki, kelayakan, kerjaya dan lunas perundangan bernegara.

“Niat yang suci pasti akan mencetuskan buah fikiran yang ikhlas, diucapkan oleh lidah yang jujur, dibenarkan dengan amal perbuatan yang seimbang dan berterusan sehinggalah hari kematian”.

Salam Hari Kemerdekaan ke-64.

Malaysia Prihatin.

Kami Keluarga Malaysia Antirasuah.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*