KENYATAAN MEDIA MCW BERKENAAN KEADAAN POLITIK DALAM NEGARA

KENYATAAN MEDIA MCW BERKENAAN KEADAAN POLITIK DALAM NEGARA
17 OGOS 2021

1. MCW yakin dan percaya terhadap kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bagi menyelesaikan kemelut yang sedang melanda negara kini.
Patik sekalian berjanji akan menjunjung segala titah perintah dan perkenan Duli Yang Mulia Tuanku.

2. MCW mengucapkan jutaan terima kasih kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anggota kabinet yang telah berkhidmat dengan baik. Namun sayangnya, pentadbiran pemulihan negara kini memerlukan ‘usaha yang sangat luar biasa’. Adalah diakui bahawa situasi semasa pemerintahan beliau dipenuhi dengan pelbagai cabaran di luar dugaan.

3. Ahli Parlimen Malaysia mesti fokus kepada usaha memulihkan negara dari pandemik COVID-19. Carilah titik tengah persamaan dengan menggembleng usaha dan bekerjasama agar ekonomi negara dapat dipulihkan segera. Kepentingan rakyat dan negara mesti diutamakan pada saat yang sukar ini. Ubahlah corak politik negara yang selama ini agak lebih mementingkan ‘kroni’ dan diri sendiri.

4. Kepimpinan negara yang baharu mesti mempunyai keazaman politik yang tinggi untuk membuat perubahan penting dalam memperkasa usaha mengintegritikan politik negara dan fokus kepada agenda antirasuah. Keazaman politik inilah yang akan mampu melegakan rakyat dan menyembuhkan Malaysia dari serangan penyakit 4 serangkai yang sedang menyerang Malaysia dewasa ini iaitu:
i. Pandemik COVID-19
ii. Ketidaktentuan EKONOMI
iii. Kemelut POLITIK
iv. Wabak RASUAH.

5. Ahli politik Malaysia yang sedang terlibat dengan pelbagai kes di mahkamah pasti sedar bahawa fokus utama adalah untuk menyelesaikan kes tersebut terlebih dahulu sebelum memikirkan usaha menerajui Malaysia dan kehadiran mereka amat dialu-alukan selepas mahkamah membebas dan melepaskan daripada segala tuduhan tersebut.

6. Semua agensi penguatkuasaan dalam negara mesti berwaspada dengan segala anasir tidak sihat yang pasti mengambil kesempatan pada ketika ini. Tindakan tegas mesti diambil segera agar keselamatan dan keamanan negara terjamin.

7. Semua kakitangan kerajaan hendaklah terus menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan penuh cekap dan amanah bagi memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas demi menjaga kualiti sistem pentadbiran negara sedia ada.

8. Rakyat mesti terus kekal tenang dan jangan terlalu emosi sehingga salah membuat tafsiran mengikut kaca mata sendiri tanpa merujuk kepada fakta sahih. MCW dapati wujud ‘kebanjiran pakar politik tidak bertauliah’ di media sosial yang boleh menyebabkan hilang kepercayaan terhadap pemimpin negara. Kebebasan memberi pandangan amat dialu-alukan, namun mesti mempunyai batas dan menjaga sensitiviti tertentu agar tidak melanggar undang-undang. Pihak MCMC perlu memantau segala berita yang disiarkan agar kebenaran dapat ditegakkan. Kebebasan bersuara adalah ibarat pisau tajam yang berguna namun ianya juga boleh membahayakan diri sendiri jika tersilap guna. Berhati-hatilah.

9. MCW mendesak rakyat untuk berani memilih calon berdasarkan karisma kepemimpinan, rekod perkhidmatan dan latar belakang peribadi yang bersih dan bukan semata-mata kerana Parti yang disertai. Pilihan Raya ke-15 akan datang adalah medan penting untuk KITA memilih Wakil Rakyat sebenar. Individu itu mestilah berintegriti tinggi, berani mempamerkan kuasa kepimpinan yang telus dan sanggup berkorban untuk rakyat serta negara.

10. Pandemik COVID-19 ini sangat besar dan luar biasa. Semua rakyat mesti bersedia untuk berdepan dengan kesan jangka panjang. MCW akan terus komited dan ‘vocal’ memberikan pelbagai pandangan yang perlu dan melaksanakan pelbagai program kesedaran antirasuah.

HAJI JAIS ABDUL KARIM
Presiden

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*