RESPONS MEDIA MCW TERHADAP STATISTIK SEJAK 2016 – HANYA 2 DARIPADA 225 KES DAPATAN JABATAN AUDIT NEGARA (JAN) DAPAT DITUDUH SPRM
1. MCW berpendapat bahawa jika tiada peruntukan dibawah Akta SPRM maka perlulah dilihat dibawah undang-undang jenayah Kanun Keseksaan yang berkemungkinan ada keterangan yang menunjukkan berlaku kesalahan seperti pecah amanah (CBT), penipuan, pemalsuan dan dibawah bab lain kesalahan penjawat awam dan peraturan lain yang berkenaan.
2. Dibawah Kanun Keseksaan, ianya lebih mudah untuk dituduh. Pastinya semua tangkapan yang melibatkan kes kepentingan awam perlu ada keputusan yang jelas sama ada didakwa atau dibebaskan dan pihak SPRM perlu menjelaskan kepada netizen mengenai kes-kes tersebut.
3. Pendekatan baharu yang lebih dinamik perlu dilaksanakan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) terutamanya melibatkan isu audit prestasi. Selain melaksanakan ‘routine periodical audit’ dimana kemudian laporannya sekadar menjadi ‘sejarah,’ JAN perlu lebih proaktif dengan penilaian yang lebih mendalam terhadap sistem kawalan dalaman institusi tersebut terhadap setiap agensi, jabatan atau anak syarikat mereka serta lain lain.
4. Kaedah pusingan audit juga perlu diberikan perhatian terhadap dapatan audit yang lepas tertumpu kepada ‘hotspots’ yang pernah dikesan. Kaedah biasa yang telah terbukti gagal untuk benteras pembiakan tadbir urus yang buruk dan perlakuan rasuah mesti menjadikan JAN lebih peka untuk meningkatkan strategi audit, pendekatan atau program yang lebih berkesan.
5. Rekod SPRM membuka kertas siasatan tetap penting. Rekod ini akan disemak setiap kali penjawat awam tersebut hendak dinaikkan pangkat atau memohon sesuatu anugerah. Walaupun hanya tindakan tatatertib tetapi ianya cukup untuk memberi pengajaran kepada pelaku kesalahan tersebut.
6. Daripada perspektif lain, SPRM sendiri perlu meneliti semula peruntukkan dan mengatasi isu-isu teknikal. Kita tidak mahu setelah banyak masa, tenaga, usaha dan bilangan pegawai SPRM yang banyak digunakan namun keefektifan dan produktiviti dalam menguatkuasakan peruntukkan sedia ada dipersoalkan umum. Jika ianya adalah kesalahan di bawah Akta SPRM maka akta ini perlu diperkemaskan segera dengan peruntukkan yang lebih relevan.
7. SPRM disarankan untuk memperkenalkan undang-undang khusus yang sama seperti Seksyen 17(A) Akta SPRM iaitu ‘Liabiliti Korporat’ khusus untuk penjawat awam. Kajian terhadap evolusi rasuah dan salah laku tadbir urus penjawat awam dari aspek hukuman juga perlu diadakan segera bagi mengekang rasuah di negara ini.
HAJI JAIS ABDUL KARIM
PRESIDEN
5 OGOS 2021
Leave a Reply