MCW setuju GLC dan GLIC diterajui pakar

Oleh Arrazzaq Nazri

KUALA LUMPUR – Selepas bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dipecat daripada jawatan tersebut, rakyat berpandangan sudah tiba masanya kerajaan membersihkan syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) daripada campur tangan orang politik.

Menurut Pengerusi Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW),Jais Abdul Karim,sebaiknya pengerusi GLC dan GLIC dilantik dalam kalangan pakar dalam bidang berkaitan.

“MCW bersetuju bahawa GLC dan GLIC perlu bebas dari pengaruh politik. Biarlah pakar dan profesional dalam bidang berkaitan mengetuai GLC atau GLIC agar dapat mencapai matlamat dan objektif entiti tersebut.

“Perkara ini telah dibincangkan sejak 20 tahun lepas,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jais berkata,bagi merealisasikan hasrat untuk melihat pentadbiran GLC dan GLIC, serta badan berkanun yang lebih berintegriti, MCW mencadangkan lima cadangan untuk dipertimbangkan pihak berkaitan.

Beliau berkata, perlu wujud larangan pelantikan ahli politik, wakil rakyat ataupun pegawai tinggi kerajaan yang telah bersara dalam GLC atau GLIC melalui Akta GLC dan GLIC yang baharu atau dengan pindaan undang-undang yang berkaitan seperti Akta Syarikat.

“Kedua, melantik calon yang benar-benar mempunyai kepakaran, pengalaman, kelayakan dan bersih daripada kontroversi samada kes pecah amanah, rasuah dan juga salah guna kuasa. Calon harus lah mempunyai “track record” yang baik dan mampu menjana idea yg baik untuk pembangunan syarikat.

“Ketiga, memberi kuasa kepada Jawatankuasa Pilihan (bagi syarikat GLC dan GLIC tertentu) untuk meneliti dan meluluskan calon Pengerusi GLC dan GLIC yang berkaitan dengan komersial di bawah syarikat masing-masing. Sistem ini juga dapat dicontohi oleh kerajaan negeri dan badan berkanun negeri,”katanya.

Jelasnya lagi, proses “due diligence” atau usaha wajar yang teliti sebelum memilih pengarah atau pengerusi yang layak wajar dijalankan.

“Ini termasuk melalui tapisan dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan juga Jabatan Insolvensi.

“Kelima,mempertingkatkan ketelusan dan pendedahan bayaran insentif kepada pengarah-pengarah yang dilantik melalui laporan berkala mengenai GLC atau GLIC yang tersenarai atau tidak tersenarai yang harus merangkumi maklumat penting seperti imbuhan pengarah, latar belakang pengarah, tawaran tender dan lain-lain,”katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, dengan adanya kelima-lima cadangan ini ianya akan menjadi asas untuk melembagakan pembaharuan yang berkaitan dengan proses dan keperluan pelantikan pengerusi GLC atau GLIC.

Jelasnya lagi, rakyat juga cuba memahami keperluan kerajaan untuk melantik Ahli Parlimen dalam GLC atau GLIC walaupun Pelan Antirasuah Nasional – NACP telah memberi larangan terhadap hal ini.

“Kerajaan perlu menyediakan Perjanjian Khas antara Ahli Parlimen atau ahli politik yang bakal dilantik itu dengan GLC atau GLIC berkenaan agar mereka hanya menjalankan tugas sebagai pengerusi bukan eksekutif, tidak mencampuri sebarang urusan pelantikan, kenaikkan pangkat dan urusan perolehan serta tidak boleh menggunakan peruntukan syarikat untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) di kawasan parlimen mereka. Gaji dan kemudahan yang diberikan juga mesti tidak keterlaluan.

“Kesimpulannya, pemimpin GLC atau GLIC memerlukan kemahiran, pengalaman, kepakaran dan kebijaksanaan serta mempunyai idea yang bernas dalam bidang tertentu contohnya Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan lain-lain lagi. Individu itu juga mesti tiada kepentingan politik agar tidak tertekan melayan kerenah orang politik,”katanya.

Beliau menambah, pelantikan ahli politik ke dalam GLC dan GLIC mesti dielakkan untuk meminimumkan konflik kepentingan dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen harus diberi tanggungjawab menilai setiap pelantikan berdasarkan kelayakan yang berpatutan.

-BebasNews

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*