Jentera kempen berhati-hati selepas gambar tular

ASLIZA MUSA

http://m.utusan.com.my/berita/politik/jentera-kempen-berhati-hati-selepas-gambar-tular-1.825433?fbclid=IwAR1ZIh847GMO0V1Wb2g5HdNAw-Gp_D28BNOyYZyZVWAtj91oEhbSGpFq2cs

19 Januari 2019 10:39 AM

PRESIDEN Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim. – UTUSAN ONLINE/KAMAL BASIR WAHAB

CAMERON HIGHLANDS 19 Jan. – Jentera kempen parti yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands kini lebih berhati-hati dalam aktiviti kempen mereka selepas gambar seorang wanita mengagihkan wang kepada beberapa orang pemuda tular di media sosial.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, penularan gambar itu dilihat sebagai satu perkara yang baik kerana memberi kesedaran kepada calon dan jentera kempen mereka agar berwaspada dalam sebarang tindakan.

Malah katanya, pendedahan kes itu juga menunjukkan peranan orang ramai dalam menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam menyalurkan maklumat untuk kes-kes seumpama itu.

“Kesedaran timbul apabila ada pendedahan sesuatu kes oleh netizen dan diharap mereka akan terus memainkan peranan yang penting dalam menyalurkan maklumat,” katanya.

Menurut beliau, sejak penamaan calon pada Sabtu lalu, pemantauan yang dilakukan pihaknya mendapati terdapat beberapa kes terpencil berkaitan salah guna kuasa dan rasuah di mana laporan mengenai perkara itu telah pun dirujuk kepada pihak berkuasa.

Katanya, aduan berhubung kes berkenaan diterima pihaknya daripada orang awam membabitkan calon dan parti yang bertanding.

“Setakat ini kita menerima lima aduan kes salah guna kuasa dan rasuah. Kita tiada kuasa menyiasat dan telah menyalurkan isu yang diperoleh daripada netizen itu kepada SPRM untuk siasatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*