Pemerhati Rasuah M’sia lawat S’pura, belajar tentang undang-undang rasuah

Pemerhati Rasuah M’sia lawat S’pura, belajar tentang undang-undang rasuah

SINGAPURA: Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mengadakan lawatan ilmiah tiga hari bermula Jumaat lepas ke republik ini bagi memperkasa pengetahuan tentang undang-undang berkaitan rasuah dunia luar.

Dalam satu kenyataan hari ini (10 Dis), MCW menyatakan lawatan rombongan 35 anggota yang diketuai Presidennya Jais Abdul Karim itu juga bersempena sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) yang disambut pada setiap 9 Disember.

Kenyataan itu turut memetik Encik Jais sebagai berkata beliau mahu setiap anggota MCW mempelajari ilmu antirasuah dan maklumat penting mengenai jenayah rasuah dari dunia luar sebagai langkah memperkasa pengetahuan mereka dalam undang-undang berkaitan rasuah.

“Kesedaran menjauhi rasuah akan terbentuk dengan sendirinya,” katanya.

Antara program pada lawatan itu ialah kunjungan ke Parlimen Singapura dan firma guaman Rajah Tann Singapura LLP.

Delegasi itu juga menghadiri program pengisian ilmiah bersama Prof Jon Quah yang mewakili Pejabat Perdana Menteri Singapura yang diadakan di Taman Bacaan Pemuda Pemudi Singapura yang bertajuk “Membanteras Rasuah di Singapura: Belajar dari Kejayaan dan Kegagalan.”

Mereka juga menghadiri ceramah yang disampaikan oleh Presiden Taman Bacaan Pemuda Pemudi Singapura Abdul Halim Kader bertajuk “Cabaran Melayu Islam Singapura dalam Hal Berkaitan Integriti dan Antirasuah.”

Delegasi itu turut mengadakan pertemuan dengan pemangku Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura Nur Eliza Jemal Zainal dan para pegawai Suruhanjaya Malaysia di Singapura.

MCW merancang untuk melakukan kunjungan ilmiah ke Macau dan Hong Kong bersempena HARA.

– BERNAMA/TQ/tq

https://berita.mediacorp.sg/mobilem/singapore/pemerhati-rasuah-m-sia-lawat-s-pura-belajar-tentang-undang/4200196.html

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*