MCW Kesal Selangor Enggan Tandatangan Ikrar Bebas Rasuah

MCW Kesal Selangor Enggan Tandatangan Ikrar Bebas Rasuah

Aidil Syukri / 17 Ogos 2017 / KLEXPRESS.COM.MY (REAL NEWS REAL TIME)

 

KUALA LUMPUR – Malaysia Corruption Watch (MCW) kesal dengan tindakan kerajaan negeri Selangor yang enggan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Menurut Presidennya, Jais Abdul Karim, alasan yang diberikan pentadbiran negeri Selangor tidak dapat diterima sama sekali.

Ini kerana katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah sebuah badan yang berkredibiliti berdasarkan pengalamannya selama setengah dekad menangani isu rasuah di negara ini.

“MCW amat kesal dengan sikap keras kepala kerajaan negeri Selangor yang enggan memberi kerjasama bagi menandatangani IBR dengan alasan kononnya mereka mempunyai kaedah yang lebih baik untuk mencegah rasuah di negeri Selangor.

“MCW yakin IBR yang diperkenalkan oleh SPRM telah dikaji dengan terperinci dan pasti mempunyai impak yang tinggi.

“IBR adalah langkah terbaik dan relevan dalam membangkitkan kesedaran rakyat bahawa pencegahan rasuah bermula dengan ikrar  menolak serta membenci rasuah. SPRM mempunyai pengalaman selama 50 tahun dalam pencegahan dan menangani pelbagai kes rasuah di Malaysia.

“Pengalaman ini sudah pasti memberi kelebihan kepada SPRM dalam melahirkan idea pencegahan rasuah yang lebih tepat berbanding dengan kaedah kerajaan negeri Selangor yang hanya berusia ‘setahun jagung’,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya lagi, beliau yakin seluruh rakyat negeri Selangor juga ditimpa tempias kesan daripada gejala rasuah yang sedang melanda pelbagai agensi penguatkuasaan di negeri itu.

Kegagalan kerajaan negeri Selangor bertindak tegas menutup kedai-kedai judi dan pusat pelacuran ujar beliau menjadi bukti bahawa gejala rasuah sedang bermaharajalela di negeri ini.

Justeru itu katanya, MCW menggesa kerajaan Selangor segera menandatangani IBR ini bagi membuktikan kesungguhan mereka bersama SPRM untuk memerangi rasuah di negeri tersebut.

“MCW juga meminta SPRM supaya memperhebatkan gerakan pembanterasan rasuah dalam negeri Selangor yang kelihatan semakin serius.

“Rakyat Selangor sedang menderita angkara rasuah. Jangan biarkan kelemahan kerajaan negeri melumpuhkan kesejahteraan rakyat tempatan dan ekonomi negara,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*