BILAKAH HADIAH MENJADI RASUAH MENURUT ISLAM?

BAB 21
BILAKAH HADIAH MENJADI RASUAH MENURUT ISLAM?
Hadiah adalah pemberian atas sebab suka atau kasih sayang tanpa ada sebarang tuntutan atau ganjaran balas yang telah disyaratkan. Hadiah boleh berupa cenderamata, hamper atau buah tangan kepada seseorang tanpa ikatan perjanjian sebelum dilakukan sebagai mengenang budi atau balas jasa atau ianya juga boleh ditafsirkan sebagai suatu upah. Hadiah yang ikhlas diberikan atas dasar kasih sayang antara ahli keluarga dan persahabatan adalah digalakkan oleh Islam.
Hadiah satu jalan mengeratkan silatulrahim antara kita atas kejujuran dan keikhlasan jiwa. Sebagai contoh, seorang pegawai awam telah menerima telefon bimbit atau hamper sempena hari lahirnya daripada sahabat karibnya, yang juga berkerja sebagai kontraktor tanpa diminta. Sahabatnya itu tidak pernah ada atau tiada kaitan dengan urusan rasmi pegawai awam itu atau jabatannya. Hadiah yang diberikan itu sebagai tanda ingatan ikhlas sahaja.
Hadiah yang ikhlas adalah digalakkan dalam Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
Berilah hadiah nanti kamu akan sayang menyayangi (Hadis Riwayat Bukhari)
Pengertian hadiah sudah tentu berbeza dengan derma. Hal ini kerana derma adalah satu pemberian berupa wang atau harta dalam jumlah tertentu kepada penerima. Penderma selalunya dikaitkan dengan orang kaya atau berharta memberi derma kepada orang miskin atau rumah kebajikan. Pemberi lazimnya tidak dijanjikan apa-apa oleh si penerima derma itu. Walau bagaimanapun, si pemberi derma biasanya akan dapat melihat hasil dermanya. Misalnya, si penderma dapat melihat hasilnya dalam bentuk pembinaan masjid, rumah anak yatim atau pusat pengajian agama di samping ganjaran pahala atau mengharapkan pelepasan cukai pendapatan.
Sukar untuk menentukan sama ada derma merupakan suapan rasuah atau sebaliknya. lanya bergantung kepada niat seseorang. Kita sebut derma tetapi ada niat disebaliknya seperti untuk mendapatkan sesuatu habuan. Hal ini kerana perbuatan jenayah rasuah boleh menjelma dalam pelbagai bentuk. Adakalanya bergantung kepada situasi masyarakat tertentu. Ada masyarakat mengatakan pemberian derma atau hadiah kepada pegawai awam, tiada unsur perbuatan jenayah rasuah dan sebaliknya.
Pengertian hadiah dari sudut syarak seperti ditakrif oleh Mazhab Syafi’e dan Hambali ialah pemberian seseorang semasa hayatnya tanpa sebarang pertukaran sama ada berupa benda atau manfaat. Sekiranya pemberian hadiah atau derma mengharapkan balasan atau mengharapkan lebih dari nilai pemberiannya, Ima m Syafi’e berpendapat perbuatan itu haram hukumnya di sisi syarak kerana ianya seumpama jual beli yang mengandungi unsur penipuan (Al-Mawardi, 1994).
Menurut Imam Al-Ghazali pula, sekiranya hadiah diberikan kepada orang yang berpengaruh atau berkedudukan jawatan disandang atau dengan maksud dia tidak akan diberi hadiah sekiranya tidak memegang jawatan tersebut, maka haram baginya menerima hadiah itu kerana ia seperti rasuah (Al- Mawardi, 1994)
Menurut Imam Ibnu Taimiyah pula, barangsiapa yang memberikan hadiah kepada Waliyul Amri (pemerintah) untuk melakukan perbuatan yang tidak diperbolehkan (pelanggaran), maka hadiah tersebut haram bagi pemberi dan penerima. Hadiah di sini sama dengan jenayah rasuah yang diharamkan. Apatah lagi jika hadiah diberikan atas sebab tugas rasmi melibatkan jawatan atau kedudukan yang dipegang, maka hadiah itu ialah suapan rasuah.
Tujuan jenayah rasuah biasanya untuk memperoleh sesuatu yang bukan haknya, atau menzalimi hak pihak lain. Pemberi suapan rasuah mengharapkan sesuatu balasan yang dia mungkin tidak akan dapat tanpa melalui sogokan tersebut. Adapun hadiah adalah pemberian atas sebab suka atau sayang tanpa sebarang tuntutan atau ganjaran balas yang disyaratkan. Al-Imam al- Mawardi merumuskan rasuah ialah apa yang diberikan kerana menuntut sesuatu, hadiah pula apa yang disumbang tanpa sebarang balasan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
Apa jadi dengan pegawai yang kita utuskan, kemudian pulang dan berkata: Ini bahagian kamu, ini bahagian aku. Silakan dia duduk di rumah ayah dan ibunya lalu tunggu, adakah akan diberikan hadiah kepadanya atau tidak? Demi Allah, dia (pegawai berkenaan) tidak mengambil sesuatu melainkan pada Hari Kiamat nanti dia akan menanggung pemberian itu atas tengkoknya (Hadis Riwayat al-Bukhari).
Hal ini bermakna, jenayah rasuah itu menyebabkan ada pihak lain yang dizalimi haknya seperti tidak dapat kontrak atau projek walaupun dia layak, melambatkan giliran orang lain yang layak, menggagalkan peluang orang yang layak atau tidak diambil tindakan undang-undang atau disaman.
Perbuatan jenayah rasuah itu adalah “pemberian keji” dengan balasan. Hadiah pula bukan pemberian bersyarat dan tidak akan menyebabkan berlaku kezaliman kepada pihak lain. Walau bagaimanapun, pemberian hadiah kepada seorang anggota pentadbiran atau pegawai awam yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya atau tindakannya serta mengganggu amanahny dikira sebagai jenayah rasuah.
Seseorang anggota pentadbiran atau pegawai awam hendaklah merenung dirinya, pemberian yang diberikan kepadanya itu mempunyai kaitan dengan jawatan yang dipegangnya atau tidak. Jika ada kaitan yang akan mempengaruhi tindakannya atau akan mengganggu keadilan atau amanahnya, maka itu adalah jenayah rasuah. Walau bagaimanapun, sekiranya pemberian itu di luar urusan rasmi tetapi atas dasar persahabatan maka ianya tidak perbuatan jenayah rasuah.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Hanya pemberi hadiah itu sendiri yang mengetahui niat hatinya. Adakah dia mengharapkan ganjaran Allah SWT atau ganjaran kebendaan berupa kontrak atau projek atau tidak diambil tindakan undang-undang.
Begitu juga hanya pihak penerima hadiah atau penerima rasuah sahaja, sama ada penerimaan itu akan memberi kesan kepada urusan rasminya atau tidak. Adakah dengan pemberian hadiah tersebut akan menyebabkan dia terasa untuk atau akan “membalas budi” kepada pihak berkenaan dengan memberikan kepadanya apa-apa benda yang bukan haknya atau menzalimi hak orang lain?
Jenayah rasuah atas “nama” hadiah boleh merosakkan rakyat dan negara. Jika jenayah rasuah berleluasa seperti sesetengah negara, rasuah boleh berlaku dari sekecil-kecil suapan kepada pemandu bas di lapangan terbang, urusan pasport sehinggalah pihak atasan dalam pelbagai urusan untuk mendapatkan kontrak, lesen perkhidmatan, permit atau melepaskan diri dari diambil tindakan undang-undang.
Jenayah rasuah juga menyebabkan orang miskin atau penduduk luar bandar susah hendak berurusan dengan pegawai awam melibatkan urusan bantuan subsidi, permit, lesen kontraktor, lesen perkhidmatan atau tapak-tapak perniagaan kerana mereka tidak mampu memberikan “hadiah” kepada pegawai-pegawai tertentu.
Perasaan tanggungjawab terhadap tugas diukur dengan hadiah yang pernah diberikan atau yang akan diberikan. Maka suapan rasuah merangkumi kesalahan pengkhianatan kepada tugas yang diamanahkan. Jenayah rasuah boleh meruntuhkan keseluruhan sistem keadilan dalam sesebuah masyarakat, jabatan dan sistem pentadbiran negara.
Syaidina Ali bin Abi Talib menukilkan:
Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ianya dibeli. Mereka membentangkan kezaliman sehingga ianya ditebus” (Ibnu Muflih)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud;
Sesungguhnya kebinasaan umat-umat sebelum kalian adalah jika orang yang terhormat dari mereka mencuri, mereka membiarkannya, tetapi jika orang bawahan mereka mencuri, mereka potong tangannya. Demi Zat yang jiwa ku ada di tangan Nya, seandainya Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya akan aku potong tangannya! (Hadis Riwayat Ahmad, Muslim dan Nasa’i)
Apa jadi dengan Derma atau Hadiah Berupa Rasuah?
Menurut Mazhab Syafi’e dan Hambali, hadiah itu hendaklah dipulangkan kembali kepada tuannya kerana haram diterimanya. Hal ini berdasarkan maksud firman Allah SWT yang melarang umat Islam memakan harta orang lain dengan cara batil. Oleh itu hadiah berkenaan hendaklah dipulangkan kepada pemiliknya kerana ia masih menjadi milik tuannya. Selain itu pemberian seperti ini dianggap seperti akad yang terbatal. Manakala menurut Mazhab Hanafi dan Maliki pula berpendapat, pemerintah hendaklah merampas hadiah tersebut dan menyerahkan kepada Baitulmal dan menganggapnya seperti barang tercicir yang telah dijumpai. Hal ini kerana pemilik barang itu telah menyerahkan hak miliknya kepada penerima sedangkan penerima pula tidak berhak memilikinya, jadi wajarlah dijadikan harta orang Islam atau harta negara (Ibn Qudamah: 1980).
Oleh demikian itu, ajaran Islam telah meletakkan hubungan sesama manusia melalui pelbagai cara termasuk pemberian hadiah, derma atau sedekah. Walaupun begitu, matlamat tidak boleh menghalalkan semua cara. Jangan salutkan perbuatan jenayah rasuah dengan berselindung atas nama derma atau hadiah sehingga tujuan asal pemberian itu sehinggakan yang sunat menjadi haram.