RESPONS MEDIA MCW-Berkenaan Kenderaan dan imbuhan semasa PRN

RESPONS MEDIA MCW

(8 Julai 2023)

1. Berdasarkan isu cadangan penyediaan bas bagi enam buah negeri semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) oleh Parti Islam Malaysia (PAS) susulan peningkatan kos pengangkutan yang dikatakan bertujuan meringankan beban pengundi khususnya pelajar universiti balik mengundi pada Ogos akan datang perlu diteliti dengan sebaiknya. Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menasihati agar tujuan tersebut bebas daripada sebarang syarat tertentu yang boleh menguntungkan atau memihak kepada sesuatu parti atau calon tertentu negeri berkenaan.

2. Tawaran pemberian elaun pengangkutan pulang mengundi dalam konteks pilihan raya di Malaysia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 sekiranya mampu menimbulkan isu salah guna sumber kerajaan negeri atau kerajaan persekutuan ketika pilihan raya semata-mata untuk mendapatkan kelebihan undian. Lebih-lebih lagi sekiranya inisiatif tersebut mempunyai hubungan secara langsung atau tidak langsung untuk menyokong calon kerajaan negeri berkenaan.

3. MCW berpandangan sekiranya penyediaan bas ini merupakan bantuan kemudahan pengangkutan untuk mendorong pengundi bagi melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka kepada negara adalah wajar dari segi faktor kenegaraan. Namun, secara tegas perlu diingatkan bahawa inisiatif seperti ini tidak boleh mempamerkan sebarang lambang parti atau imej calon yang mampu mempengaruhi undi seseorang.

4. Rasuah semasa pilihan raya boleh berlaku apabila terdapat usaha untuk memberikan atau menerima sesuatu yang bernilai dengan tujuan mempengaruhi hasil pilihan raya atau mendapatkan keuntungan yang tidak sah. Sekiranya kemudahan pengangkutan pulang mengundi ini diberikan secara wajar dan tidak melibatkan tindakan penyuapan atau manipulasi, umumnya ia tidak dianggap sebagai rasuah. Namun, jika terdapat bukti atau petunjuk adanya tindakan yang melanggar undang-undang atau menunjukkan penyalahgunaan proses pilihan raya, perkara tersebut boleh disiasat oleh agensi penguatkuasaan dan badan berkuasa yang berwajib seperti Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

5. Justeru, MCW mengesa agar isu ini diteliti dengan lebih terperinci berdasarkan undang-undang sedia ada walaupun inisiatif ini datangnya dari pihak kerajaan negeri. Status atau niat tindakan ini mesti dijelaskan dengan baik agar tidak mengelirukan rakyat dan tidak bercanggah dengan undang-undang serta tafsiran rasuah dalam konteks pilihan raya di Malaysia.

Jais Abdul Karim
Presiden