Soalan wartawan
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited memastikan Malaysia mampu mencapai kedudukan ke-25 dalam pengukuran Indeks Persepsi Rasuah (CPI) menjelang 2033.
Suruhanjaya itu dalam kenyataan berkata, bagi mencapai hasrat itu, pihaknya menyeru semua pihak meneruskan kerjasama dan memainkan peranan masing-masing.
Harap tuan boleh ulas mengenai ulas hasrat SPRM untuk berada di kedudukan ke 25 menjelang 2033 itu?
-Adakah ia sasaran realistik dan tidak terlalu lama?
-Selain itu apa langkah drastik dan konkrit perlu diambil untuk pastikan sasaran itu berjaya?
Respons MCW – Sasaran SPRM dan kerajaan untuk mencapai kedudukan ke-25 dalam CPI menjelang 2033 adalah tidak mustahil dan mesti diikuti dengan langkah dan usaha yang besar.
Ianya adalah cabaran yang penting berpandukan kepada perjalanan negara dalam mengatasi isu rasuah.
Kerjasama dari semua pihak terutamanya dari pihak kerajaan sendiri termasuklah sektor swasta, masyarakat sivil dan semua agensi penguatkuasaan dalam negara adalah amat mustahak. Setiap pihak perlu memainkan peranan dalam memerangi rasuah.
Peningkatan ketelusan dan akauntabiliti dalam semua institusi termasuk peningkatan kecekapan dan keberkesanan SPRM diikuti rapat dengan keadilan serta ketelusan dalam sistem perundangan dan kehakiman akan mampu memastikan kejayaan matlamat ini.
Pendidikan dan Kesedaran kepada masyarakat tentang kesan negatif rasuah dan kepentingan integriti dalam pembangunan negara adalah langkah yang konkrit.
Langkah konkrit yang lain adalah tindakan tegas terhadap kes-kes rasuah tanpa mengira status sosial atau politik pelaku, dan mengenakan hukuman yang maksimum kepada mereka.
Perlu ada mekanisme untuk menilai kemajuan serta keberkesanan langkah-langkah yang diambil termasuklah penilaian prestasi SPRM dan agensi-agensi lain yang terlibat dalam pencegahan dan pemberantasan rasuah.
Sumber yang mencukupi termasuk peruntukan, tenaga pakar dan teknologi terkini mesti disediakan untuk melaksanakan tindakan pencegahan dan pemberantasan rasuah yang lebih berkesan.
Kesimpulannya, sasaran ini memerlukan komitmen yang berterusan dari setiap pentadbiran dan pemimpin negara untuk memastikan kesinambungan usaha pencegahan rasuah.
Mengambil langkah-langkah yang berani dan berkesan, serta mendorong kerjasama antara semua pihak, adalah kunci ke arah mencapai sasaran tersebut. Hal ini akan memerlukan kesabaran, ketekunan, dan usaha yang berterusan dari semua pihak terlibat.