BAGAIMANAKAH KESALAHAN JENAYAH RASUAH DALAM BENTUK MENGEMUKAKAN TUNTUTAN PALSU BOLEH BERLAKU

Bab 13
BAGAIMANAKAH KESALAHAN JENAYAH RASUAH DALAM BENTUK MENGEMUKAKAN TUNTUTAN PALSU BOLEH BERLAKU?
Kesalahan dalam bentuk mengemukakan tuntutan palsu di bawah Seksyen 18, Akta SPRM 2009 yang menjelaskan bahawa, perbuatan mana-mana orang memberikan kepada ejen atau ejen memberi kepada prinsipal atau majikannya, suatu dokumen yang diketahuinya mengandungi butir-butir matan yang palsu yang mana prinsipal atau majikannya mempunyai kepentingan, dengan niat hendak memperdayakan atau mengelirukan prinsipalnya atau majikannya adalah melakukan suatu kesalahan.
Sebagai contoh, seorang kontraktor mengemukakan tuntutan palsu kepada sebuah jabatan kerajaan berkaitan kerja-kerja ubahsuai pejabat telah disiapkan atau pembekalan peralatan pejabat telah dibekalkan, sedangkan kerja-kerja belum siap atau bekalan tidak dibekalkan sepenuhnya tetapi bayaran penuh telah dibuat. Manakala bagi pegawai awam yang mengesahkan kerja siap atau bekalan dibuat sepenuhnya itu adalah bersalah kerana bersubahat dengan kontraktor atau pembekal tersebut.
Begitu juga contoh melibatkan pegawai awam terlibat membuat tuntutan palsu berkaitan tuntutan elaun perjalanan, kerja lebih masa, tuntutan pengendalian kursus yang tidak dibuat atau tuntutan penginapan hotel adalah merupakan kesalahan jenayah rasuah.
Antara Kes Sabitan Hukuman Oleh Mahkamah; a) Kes terhadap bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor Kawasan Teratai, Yap Soo Sun di mana pada 29 September 2016, Mahkamah Rayuan Putrajaya memerintah tertuduh menjalani hukuman penjara dua tahun dan didenda RM350,000.00 atas tujuh kesalahan membuat tuntutan palsu berjumlah RM70,000.00. Hakim Mahkamah Rayuan telah mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang telah mengenakan hukuman tersebut sebelum itu. Tertuduh telah didakwa menggunakan dokumen pengeluaran peruntukan ADUN yang mengandungi butiran palsu bagi mendapatkan peruntukan sebanyak RM70,000.00 untuk tujuh program mesra rakyat dikawasan DUN Teratai sedangkan program tersebut tidak dijalankan. (Utusan Malaysia: 29 September 2016)
b) Kes terhadap Loh Chee Heng, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor Kawasan Telok Datok, telah dihukum penjara tiga tahun dan didenda RM66,900.00 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas tertuduh mengaku bersalah mengemukakan tuntutan palsu yang berjumlah RM33,380.00 dengan niat memperdayakan dan menggunakan dokumen berkaitan kelulusan pengeluaran peruntukan mengandungi butiran palsu iaitu permohonan pengeluaran peruntukan RM13,380.00 bagi program Sambutan Hari Guru Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Datok sedangkan ia tidak dilaksanakan. Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Daerah Kuala Langat, Kuala Langat pada 8 Jun 2015. Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. (Sinar Harian: 2 Mei 2019)
c) Kes terhadap Mohd Shafie Osman, Pensyarah Politeknik Merlimau Melaka telah didenda RM36,000.00 oleh Mahkamah Sesyen Melaka pada 26 Februari 2021 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM59,320.70 bagi pembelian keperluan pasukan ragbi pelajar di institusi tersebut antara tahun 2016 dan 2017. Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, tertuduh Mohd Shafie dengan curangnya telah menggunakan dokumen palsu sebagai sebut harga dari syarikat AK Maju Resources sedangkan pembekalan tidak dibuat sepenuhnya. (Melaka Hari Ini: 26 Februari 2021)
d) Kes terhadap Wali Fathir Mustapha, pegawai RELA Daerah Serian, Sarawak telah dijatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM273,600.00 oleh Mahkamah Sesyen Kuching pada 12 Januari 2018 setelah tertuduh mengaku bersalah terhadap tuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM54,720.00. Dia membuat tuntutan elaun bagi ‘Pengakuan Kehadiran Anggota RELA Yang Bertugas Bagi Peti Undi’ untuk Daerah Serian pada bulan April 2012 dengan memperdayakan seorang pegawai kewangan Ibu Pejabat RELA Negeri Sarawak dengan membuat tuntutan palsu yang berjumlah RM54,720.00 yang mengandungi maklumat palsu dikatakan seramai 190 anggota RELA telah bertugas, sedangkan perkara tersebut tidak benar. (Utusan Borneo Online: 12 Januari 2018)
Hukuman bagi kesalahan jenayah rasuah dalam bentuk ini memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000.00 yang mana lebih tinggi. Sebagai contoh hukuman denda adalah sekiranya wang suapan rasuah berjumlah RM20,000.00, maka hukuman denda dikenakan ialah berjumlah RM100,000.00. Sebaliknya jika nilai suapan berjumlah RM1,000.00, maka jumlah hukuman denda minima ialah RM10,000.00.
Dalam kes kesalahan jenayah rasuah juga, harta hasil daripada perbuatan jenayah rasuah boleh dilucuthakkan oleh mahkamah dan dimasukkan ke dalam akaun kerajaan.