Kerajaan komited banteras rasuah, tingkat peruntukan SPRM – MCW
KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memuji langkah kerajaan yang komited dalam memperkukuhkan usaha membanteras rasuah dengan penambahan peruntukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Belanjawan 2025.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2025 mengumumkan peruntukan SPRM ditingkatkan kepada RM360 juta pada tahun 2025 ketimbang RM338 juta pada tahun lalu.
Menurut Presiden MCW, Jais Abdul Karim, peruntukan lebih besar itu penting untuk membolehkan SPRM memperluas siasatan, memperkukuhkan kapasiti penyiasatan dan memastikan tindakan tegas diambil terhadap semua pesalah rasuah tanpa campur tangan mana-mana pihak.
Katanya, kebebasan sepenuhnya yang diberikan kepada SPRM dalam menjalankan siasatan juga selari dengan hasrat MCW melihat sebuah agensi penguatkuasaan yang benar-benar bebas, berintegriti dan berwibawa.
“MCW juga berharap agar peruntukan tambahan ini dimanfaatkan sebaiknya untuk meningkatkan teknologi penyiasatan, memperkukuhkan program pendidikan dan kesedaran antirasuah serta melatih pegawai yang lebih berkemahiran dalam menghadapi cabaran rasuah yang semakin kompleks.
“Pada masa yang sama, MCW menyeru masyarakat dan semua agensi kerajaan serta swasta untuk terus memberi sokongan kepada usaha SPRM kerana pembanterasan rasuah memerlukan kerjasama menyeluruh daripada semua lapisan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini. – MalaysiaGazette
Kerajaan komited banteras rasuah, tingkat peruntukan SPRM – MCW