RESPONS MEDIA MCW TERHADAP ISU PEROLEHAN 16 DRON BERKUASA TINGGI BERHARGA RM 48 JUTA UNTUK KEGUNAAN PDRM
1. MCW mengikuti rapat isu ini ekoran viral poster media sosial yang membandingkannya dengan perolehan dron pihak Polis Amerika Syarikat yang dianggap sama kualiti namun dengan harga yang lebih murah. Harga 48 juta itu dikhuatiri tidak munasabah dan dianggap terlalu mahal.
2. MCW juga telah memahami kenyataan media PDRM semalam bahawa cadangan perolehan yang telah diluluskan oleh kerajaan itu adalah berdasarkan kajian harga pasaran dengan spesifikasi terkini untuk tugasan taktikal dan pemantauan sempadan yang dianggap luas. Dengan ketahanan, resolusi tinggi dan kemampuan beroperasi pada waktu malam serta dilengkapi dengan sistem sokongan yang serba canggih maka ianya memberi justifikasi yang baik dengan harga tersebut.
3. MCW yakin dan percaya bahawa pihak PDRM dan KDN telah membuat Kajian Pasaran berdasarkan Arahan Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia yang berkaitan perolehan demi memastikan kepentingan kerajaan terjaga dan mengelakkan ketirisan dana awam serta memastikan perolehan ini mempunyai ‘value for money’ yang terbaik.
4. MCW ingin mencadangkan agar pihak Jabatan Audit Negara (JAN) melaksanakan auditan harga dan keperluan spesifikasi dengan membuat perbandingan berdasarkan spesifikasi yang sama. Proses ini penting bagi memperlihatkan ketelusan dan menolak kesangsian awam dalam perolehan ini. Pihak SPRM juga diharapkan dapat membuat siasatan yang perlu bagi memastikan tiada unsur yang tidak diingini berlaku dalam perolehan ini.
5. MCW memandang serius sikap ‘cybertrooper’ yang menviralkan perkara itu sehingga menimbulkan fitnah yang tidak diingini terhadap PDRM dan Kementerian Dalam Negeri. Mereka bukanlah ‘punching bag’ atau musuh kita sebaliknya segenap lapisan masyarakat perlu menyokong segala usaha yang sedang mereka lakukan untuk memastikan keselamatan negara terjamin.
6. MCW berharap tohmahan liar dan jahat seperti ini dapat dihentikan dalam zaman yang sukar sekarang ini agar segala usaha dan fokus perlu diberikan untk menyelamatkan negara kita. Viral poster yang bermotif persepsi jahat terhadap agensi kerajaan mesti disiasat oleh pihak berkuasa bagi mencari niat sebenar pembuat mesej tersebut.
HAJI JAIS ABDUL KARIM
PRESIDEN
28 Julai 2021
Leave a Reply